Undi Nurul Izzah, Rafizi beritahu perwakilan PKR

Undi Nurul Izzah, Rafizi beritahu perwakilan PKR

Rafizi Ramli berkata Izzah perlu menang persaingan timbalan presiden atau rakyat Malaysia akan anggap kekalahannya isyarat ahli menolak Anwar Ibrahim.

nurul izzah anwar rafizi
Rafizi Ramli (kanan) berkata, PKR tidak mampu menerima keputusan lain, dengan anak perempuan Anwar Ibrahim, Nurul Izzah, perlu dipilih timbalan presiden. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli menyeru perwakilan PKR mengundi pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, sebagai timbalan presiden.

Rafizi berkata, ini kerana Presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mendapat gambaran buruk, jika anak perempuannya tewas dalam perebutan jawatan nombor dua parti.

“Jika Nurul Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Anggota PKR menolak Anwar Ibrahim. Jadi, oleh sebab itu Nurul Izzah mesti menang. Apa pilihan yang kita ada?

“Kempen saya mudah sahaja: undi Nurul Izzah. Kita tidak boleh menerima keputusan lain…kerana jika Nurul Izzah kalah, itu bermakna Anwar ditolak,” katanya pada satu acara di Kedah malam ini.

Rafizi, yang juga menteri ekonomi, turut menasihatkan penyokong Izzah berhati-hati dalam mempertahankan pencalonannya, terutama berkait kebimbangan dan dakwaan nepotisme.

Rafizi dan Izzah akan bertembung satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden. Pada pemilihan 2022, Rafizi menang jawatan berkenaan, Izzah ketika itu tidak bertanding dan dilantik sebagai naib presiden PKR.

Pada Sabtu, Rafizi berkata, pemimpin PKR tidak akan terlepas serangan nepotisme oleh musuh politik di luar selepas Izzah memutuskan bertanding jawatan nombor dua.

Malam tadi, beliau berkata pada pemilihan lepas suasana berlangsung tenang dan harmoni, namun berubah selepas kerajaan perpaduan dibentuk.

“Presiden (Anwar) dah pernah kata dalam Biro Politik dan MPP (jawatan) nombor satu dan dua tak payah tanding la. Kita nak kekalkan ketenangan ini. Benda tu semua dah tahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.