‘Saya bukan diktator arah pendakwaan suka hati’, kata Anwar

‘Saya bukan diktator arah pendakwaan suka hati’, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata pendakwaan termasuk berkait dakwaan rasuah perlombongan mineral di Sabah memerlukan siasatan rapi terlebih dahulu.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata SPRM telah menyiasat dakwaan rasuah perlombongan mineral di Sabah.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan diktator yang sesuka hati mengarahkan tindakan termasuk pendakwaan berkaitan dakwaan rasuah belum lengkap siasatannya.

Merujuk penyebaran video berkait dakwaan rasuah perlombongan membabitkan beberapa Adun Sabah, Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat perkara itu.

Menurutnya, jawapan rasmi daripada pihak berkuasa memberitahu video ‘sekerat-kerat’ yang disebarkan itu boleh disiasat tetapi tidak boleh didakwa selain keterangan daripada saksi juga belum lagi lengkap.

“Mengikut SPRM baru satu bulan lalu ada dikatakan video lengkap, maka SPRM rujuk ke forensik untuk sahkan. Maksudnya siasat lebih rapi boleh diteruskan.

“Saya tidak mahu pegang jawatan kerajaan untuk melindungi. Ini keadaanya…oh perdana menteri mesti ambil tindakan tegas, tak ambil tindakan. Perdana menteri anti rasuah tapi mengizinkan (perbuatan rasuah).

“Ini perdana menteri bukan diktator, saya ikut hukum dan lalui proses…tak boleh tangkap begitu sahaja,” katanya berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan di Penampang, Sabah.

Minggu lalu, SPRM memaklumkan ia telah menyiapkan laporan forensik berhubung video kontroversi yang dikaitkan dengan skandal perlombongan terbabit.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki enggan mengulas mengenai ketulenan video-video terbabit.

Skandal perlombongan itu didakwa berlaku pada tahun lalu selepas beberapa siri video mengaitkan beberapa ADUN Sabah dengan isu terbabit telah disebarkan.

Video berkenaan didakwa memaparkan perbincangan melibatkan rasuah dan salah laku berkaitan projek penerokaan mineral di negeri itu.

Februari lalu, Azam menyatakan video awal disebarkan itu tidak mempunyai kredibiliti kerana telah disunting secara berlebihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.