Reformasi tak boleh laksana serentak, PKR tiada majoriti mutlak, kata Anwar

Reformasi tak boleh laksana serentak, PKR tiada majoriti mutlak, kata Anwar

Perdana menteri berkata beliau perlu ambil pendekatan lebih matang dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Perdana Menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim
Perdana Menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui kerajaan pimpinannya masih berdepan masalah melakukan perubahan, terutama apabila persoalan kaum sering dibangkit.
HULU SELANGOR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui berdepan cabaran melaksanakan reformasi menyeluruh sepertimana diperjuangkan PKR sekian lama dalam tempoh singkat.

Katanya, kerajaan perpaduan pimpinannya tidak memiliki majoriti mutlak, justeru memerlukan pendekatan yang lebih matang dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Beliau berkata, sebarang usaha reformasi dilaksanakan kerajaan perlu dirunding secara musyawarah antara parti komponen membentuk kerajaan perpaduan.

“Kadang-kadang kita lupa, kalau PKR memiliki 30 kerusi Parlimen, dan jika digabungkan dengan Pakatan Harapan (PH) kita ada 82 kerusi Parlimen, namun kadang-kadang kita berbicara seolah-olah kita mempunyai 222 kerusi Parlimen.

“Perubahan mesti dilakukan, tetapi ia harus dilakukan dengan waras, bijaksana, dan melalui rundingan yang baik. Musyawarah di kalangan pimpinan semua parti dalam kerajaan perpaduan ini bukan mudah, kerana masing-masing parti mempunyai keutamaan mereka. Oleh itu, kita harus mengemudi dengan bijak,” katanya ketika berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformasi Kebangsaan.

Perdana menteri yang juga pengerusi PH dan presiden PKR, turut mengakui kerajaan pimpinan beliau masih berdepan masalah melakukan perubahan, terutama apabila persoalan kaum sering dibangkitkan.

“Apa yang ditakutkan, soal Cina (oleh Melayu) dan sesetengah orang Cina, dia fikir masalah sekolah Cina saja, tiada isu lain dan sesetengah orang India pun begitu. Sebab itu kita harus ajak Melayu, Cina, India, (kaum) Sabah, Sarawak, boleh bawa isu mereka…tetapi lihat dalam kerangka besar Malaysia,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan berkompromi dalam isu rasuah dan penyelewengan.

“Tapi, satu hal yang tidak boleh kita sangkal…kita teguh untuk membawa perubahan, menolak rasuah, menolak penyelewengan, menolak keangkuhan. Kita juga berikrar, kalau nak buat perubahan, saya tidak mahu mengikut pengalaman orang yang sudah lama menjadi perdana menteri atau menteri, yang hanya berdiam diri ketika ada kuasa.

“Ini adalah cabaran kepada kita yang memegang kuasa. Apabila ada kuasa, kita akan lakukan yang terbaik, (apakah) mudah? Tidak mudah, tidak semua orang setuju,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata perjuangan reformasi dibawa sekian lama bukan bertujuan mengangkat individu tertentu, tetapi menuntut perubahan sistem supaya lebih adil, telus, dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, lantikan menteri dan kedudukan dikecapi hari ini adalah hasil pengorbanan dan usaha keras rakan-rakan seperjuangan, termasuk pejuang reformasi yang tidak pernah luntur semangatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.