
Saman itu, yang difailkan pada 2 Mei, menuntut ganti rugi bagi kerugian kewangan berskala besar, dikatakan dialami akibat pemindahan tanpa kebenaran dan skim pengubahan wang haram melalui akaun di bank itu, yang kini dalam pembubaran.
“Kami komited untuk mempertanggungjawabkan institusi dan individu yang terlibat dalam penyelewengan wang daripada dana kekayaan berdaulat Malaysia. Usaha ini bertujuan untuk mendapatkan semula aset dan pemulangan aset yang sah kepada rakyat Malaysia,” kata jurucakap lembaga 1MDB dalam kenyataan hari ini.
Dalam saman itu, 1MDB dan Brazen Sky mendakwa BSI dan beberapa bekas pegawai memainkan peranan penting dalam memudahkan pemindahan tanpa kebenaran dan skim pengubahan wang haram melalui akaun BSI, lantas menyumbang kepada skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion digelapkan daripada dana kekayaan berdaulat itu.
BSI berusaha membatalkan tuntutan itu, antara lain berhujah bahawa tuntutan mahkamah itu melibatkan tempoh langkau masa (time barred).
Bagaimanapun, pada 27 Mei, Hakim Andre Maniam menolak semua alasan BSI dalam rayuannya dan memerintahkan bank itu membayar kos kepada 1MDB dan Brazen Sky.
Keputusan mahkamah itu membuka laluan kepada tindakan undang-undang terhadap BSI diteruskan, yang bermula pada Mei, kata 1MDB.
Bank itu beroperasi sebagai bank saudagar di Singapura sejak November 2005 menawarkan perkhidmatan perbankan swasta. Ia anak syarikat milik penuh BSI SA, sebuah bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland.
Seiring dengan rayuan itu, penyelesai bersama bagi Brazen Sky memfailkan tuntutan berkaitan di Mahkamah Tinggi Singapura terhadap BSI dan pegawainya, sebagai sebahagian daripada usaha 1MDB mendapatkan semula aset di serata dunia.