Ibu, teman lelaki ditahan abai 2 anak

Ibu, teman lelaki ditahan abai 2 anak

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata dua beradik berusia empat dan 16 tahun itu turut tidak diberi makan oleh penjaga mereka.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata pasangan itu direman hingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana disyaki mengabaikan dua anak perempuan wanita itu termasuk tidak diberi makan di sebuah rumah di Puchong, Subang Jaya.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat, berkata pasangan berkenaan ditahan pada Rabu lalu selepas menerima maklumat mengenai nasib kanak-kanak itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Wan Azlan berkata hasil siasatan mendapat wanita berusia 37 tahun dan teman lelakinya berusia 42 tahun, tinggal serumah bersama anak perempuan wanita itu yang berusia empat dan 16 tahun.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah dan semakan mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah berkaitan kes narkotik.

“Bagaimanapun, keputusan ujian air kencing terhadap wanita itu adalah negatif,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Wan Azlan berkata pemeriksaan kesihatan terhadap kedua-dua mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan fizikal atau parut lama pada tubuh mereka.

“Siasatan lanjut mendapati dua beradik itu tidak diberi makan oleh penjaga mereka, walaupun tidak dikurung secara fizikal.

“Dalam masa sama, keadaan kediaman juga didapati kotor dan tidak selamat untuk didiami, selain persekitarannya yang tidak sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, mangsa berusia 16 tahun juga dilaporkan mengalami tekanan perasaan akibat pengabaian yang berlaku dan dua beradik itu kini ditempatkan di hospital untuk pemerhatian lanjut.

Katanya, pasangan itu direman hingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.