Kami mohon maaf perdana menteri

Kami mohon maaf perdana menteri

FMT dan penyampai berita kami Nur Hailee Izzati memohon maaf atas klip rakaman tidak digunakan yang disunting sehingga menyinggung perasaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

FMT logo
PETALING JAYA:
Penyalahgunaan rakaman video tidak digunakan di media sosial semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini, apabila warganet menyunting klip terbabit untuk memburukkan tokoh awam, memesongkan naratif dan mengelirukan khalayak.

Penyebaran yang begitu pantas di media sosial menyebabkan kandungan itu berubah menjadi kontroversi.

Malangnya, FMT turut menjadi mangsa baru-baru ini apabila penyampai berita Bahasa Melayu, Nur Hailee Izzati, tanpa disengajakan telah menjadi tumpuan.

Pada 30 Mei, Hailee telah memuat naik satu rakaman klip tidak digunakan yang kelihatan tidak berbahaya, menunjukkan dia ketawa apabila bergelut memulakan bacaan berita yang menyebut nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, klip video terbabit telah disalah guna oleh seorang warganet yang menyuntingnya dengan menambah karikatur menghina Anwar, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah FMT dan Hailee mempersendakannya.

Akibatnya, Hailee terpaksa mengeluarkan permohonan maaf — yang telah beliau lakukan dengan terbuka.

Rakaman video disalah guna boleh menyebabkan kerosakan reputasi yang serius dan sukar diperbaiki.

Kesan terhadapnya juga boleh menjadi parah, apabila FMT dan Hailee menerima kecaman serta-merta dari pelbagai pihak, sekali gus mencemarkan jenama dan menjejaskan kerjaya.

Akhirnya, organisasi media seperti FMT dan wartawan seperti Hailee perlu sentiasa berhati-hati dalam apa jua yang mereka lakukan, sama ada dalam kapasiti profesional mahupun peribadi.

Pada masa yang sama, warganet — yang kini ramai juga menjadi pencipta kandungan — perlu memainkan peranan dengan menggunakan dan menilai kandungan secara beretika demi mengekalkan wacana digital yang sihat.

Ini bukanlah sesuatu yang mudah, dan hanya boleh dicapai jika semua pihak memainkan peranan masing-masing.

FMT dan Hailee amat kesal atas manipulasi terhadap salah satu rakaman video kami yang tidak digunakan, sehingga mencetuskan cemuhan terhadap perdana menteri.

Kami dengan penuh keikhlasan memohon maaf kepada beliau serta kepada semua pembaca dan penonton kami.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.