
Dokumen itu berkaitan garis panduan dan prosedur semakan wajar (due diligence) transaksi pertukaran mata wang asing.
Peguam Maritime Network, P Taneswaran berkata Hakim Leong Wai Hong menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak secara tertutup di kamar, yang turut disahkan peguam RHB Bank Gan Khong Aik.
Pada 3 Mac, Maritime Network memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi memohon perintah supaya bank itu mendedahkan garis panduan dalaman serta prosedur semakan wajar digunakan dalam mengurus transaksi tukaran asing.
Pengarahnya, R Jeyenderan memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Tanes, Khoo & Paulraj dengan menamakan RHB Bank Berhad sebagai defendan.
Syarikat ejen perkapalan itu mengambil tindakan undang-undang selepas beberapa pindahan dana antarabangsa ke dalam akaun pelbagai mata wang (USD) syarikat itu dipulangkan semula tanpa notis atau alasan munasabah.
Menurut afidavit difailkan, walaupun wang itu dihantar oleh pengirim tidak dikenali, pindahan itu jelas merujuk kepada invois sah dikeluarkan syarikat.
Maritime Network telah memohon bank menangguhkan pemulangan dana sementara siasatan dijalankan, namun wang itu tetap dipulangkan tanpa persetujuan.
Bank mendakwa bahawa mereka telah mematuhi piawaian kewangan Minimum Due Diligence (MDD).
Justeru itu, Maritime Network menuntut garis panduan MDD digunakan bank dikemukakan kepada mahkamah melalui proses pendedahan dokumen sebelum perbicaraan, bagi menilai sama ada wujud pelanggaran tanggungjawab.