Tak tepat ketua kampung dipilih ikut selera ketua bahagian, exco beritahu Puad

Tak tepat ketua kampung dipilih ikut selera ketua bahagian, exco beritahu Puad

Exco Zahari Sarip kata pemilihan ketua kampung dibuat oleh pejabat daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah, disertai Jabatan Insolvensi, polis, dan pandangan penduduk setempat.

Exco Johor Zahari Sarip (kiri) kata tanggapan bahawa parti politik yang tentukan pemilihan ketua kampung adalah kurang tepat.
PETALING JAYA:
Pemilihan ketua kampung di Johor dibuat melalui tapisan ketat pelbagai peringkat, bukannya dilantik berdasarkan cadangan ketua bahagian atau pemimpin politik semata-mata, menurut exco.

Mengulas kritikan Adun Rengit Puad Zarkashi mengatakan amalan melantik ketua masyarakat mengikut selera ketua bahagian parti sebagai sudah lapuk, Exco Luar Bandar Zahari Sarip menegaskan tanggapan itu kurang tepat.

Beliau menjelaskan pemilihan ketua kampung dibuat oleh pejabat daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah, disertai jabatan berkaitan termasuk Jabatan Insolvensi, polis, dan pandangan penduduk setempat.

“Jawatankuasa pemilihan ketua kampung dipengerusikan oleh pejabat daerah. Di situ ada jabatan-jabatan berkaitan yang akan jalankan sesi temu duga.

“Calon-calon yang dapat markah tinggi akan dirujuk kepada negeri namun kita masih tapis dan rujuk sumber lain termasuk penglibatan beliau dalam masyarakat.

“Tanggapan bahawa parti politik yang tentukan… ini tanggapan kurang tepat,” katanya kepada FMT, mengulas gesaan Puad supaya kerajaan Johor merombak kaedah pelantikan ketua kampung.

Speaker DUN Johor itu berkata individu yang diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas berkenaan seharusnya dipilih berdasarkan prestasi kerja, bukannya melalui cadangan ‘orang politik’.

Beliau juga mengesyorkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan supaya ketua kampung yang benar-benar komited sahaja dipilih mewakili masyarakat tempatan.

Mengulas lanjut, Zahari mendedahkan terdapat juga individu bukan daripada Barisan Nasional dilantik mengetuai masyarakat setempat.

“Saya tak boleh dedah kawasan mana tetapi tanggapan bahawa kita lantik dari satu parti saja iaitu BN tidak betul sebab ada juga dari parti lain,” katanya.

“Bagaimanapun, kita ambil maklum segala aduan yang dibangkitkan dan mungkin kita akan menambah ahli jawatankuasa pemilihan supaya calon yang dipilih mengambil kira suara pelbagai peringkat.”

Elaun rendah tetapi ketua kampung tetap komited

Mengulas isu kadar elaun ketua kampung rendah, Zahari mengakui jumlah yang diterima ketua masyarakat itu tidak setimpal dengan beban tugas yang dipikul.

“Sebab itu, tanpa jemu kita bawa perkara ini ke pengetahuan kerajaan pusat supaya elaun ketua kampung dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM1,500 daripada kadar semasa iaitu RM1,200,” katanya.

“Saya pesan juga kepada ketua kampung jangan jadikan alasan elaun rendah untuk mereka tak bekerja dan jika tak sanggup boleh letak jawatan tetapi Alhamdulillah mereka tunjukkan prestasi baik.”

Menurut beliau, bermula tahun ini kerajaan negeri juga mencarum Perkeso untuk ketua kampung supaya mereka dilindungi ketika berkhidmat untuk penduduk setempat.

“Caruman untuk semua 677 ketua kampung ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.