
Suruhanjaya itu berkata tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM. Katanya, data yang diminta tidak mengandungi identiti dan tidak mengandungi sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.
Syarikat telekomunikasi diberi pilihan sama ada memproses data tersebut dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan menyerahkan output yang dibuang identiti dan diagregatkan kepada SKMM; atau bagi yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan, menyerahkan data yang dibuang identiti kepada suruhanjaya untuk diproses.
“Dalam kedua-dua kes, tiada pelanggan individu yang boleh dikenal pasti melalui data yang dikumpul,” kata SKMM dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas South China Morning Post, memetik sumber industri, melaporkan Putrajaya mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet sebagai sebahagian daripada peluasan kawalan aktiviti dalam talian.
Sumber itu berkata SKMM menghantar surat kepada syarikat telekomunikasi untuk meminta log panggilan dan internet terperinci bagi tiga bulan pertama tahun ini, sebagai sebahagian daripada projek data telefon bimbit kerajaan.
Data yang dikumpulkan itu hanya akan digunakan untuk menghasilkan statistik rasmi bagi menyokong ‘penggubalan dasar berasaskan bukti’.
Ia antara lain bertujuan mendapatkan statistik seperti bilangan langganan jalur lebar mudah alih aktif dan kadar penembusan mengikut negeri, daerah, mukim, pihak berkuasa tempatan serta kawasan parlimen dan DUN.
SKMM berkata, data itu turut digunakan untuk tujuan berkaitan pelancongan seperti menjana indikator bilangan pelawat dan trend perjalanan domestik.
“Penggunaan data telefon bimbit sebagai sumber baharu statistik negara adalah hala tuju strategik yang ditetapkan kerajaan bagi memperkukuh kualiti dan ketepatan masa keluaran statistik untuk tujuan dasar dan perancangan,” katanya.
SKMM berkata inisiatif ini mengikuti amalan terbaik antarabangsa, selari dengan usaha di negara seperti Indonesia dan Brazil, yang menggunakan data telekomunikasi yang telah dibuang identiti untuk meningkatkan statistik negara tanpa menjejaskan privasi pengguna.