
Beliau berkata, Malaysia menyokong langkah Thailand dan Kemboja menangani isu sempadan kedua-dua negara dan selaku pengerusi Asean 2025, Putrajaya turut sedia memberikan kerjasama diperlukan dalam rundingan itu.
“Saya bercakap dengan kedua-dua perdana menteri (Thailand dan Kemboja), mereka telah mengambil beberapa langkah yang kita sokong, iaitu rundingan pada 14 Jun ini mengenai sempadan Thailand-Kemboja.
“Saya sedia mengikuti dan beri kerjasama diperlukan. Setakat ini dua-dua kerajaan mengambil sikap untuk meneruskan rundingan secara baik,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Putra, di sini.
Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terbabit pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja yang dilaporkan mengorbankan seorang askar Kemboja.
Kemboja kemudian mengumumkan hasrat membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Thailand dilaporkan mengulangi komitmennya menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa, serta perjanjian dan memorandum berkaitan.
Susulan ketegangan itu, satu rundingan dijadualkan di Phnom Penh pada 14 Jun ini melalui platform Suruhanjaya Sempadan Bersama yang dijangka menjadi langkah penting ke arah penyelesaian damai jangka panjang antara dua negara jiran berkenaan.