
Anwar berkata kerajaan tidak pernah menghalang atau menyekat mana-mana aktiviti dakwah tetapi semuanya tertakluk kepada undang-undang.
“Kena ikut peraturan kerana Malaysia negara hukum, mesti ikut undang-undang. Saya juga terlibat kegiatan-kegiatan dakwah dulu.
“Tapi kalau orang nampak nak buat dakwah yang mengganggu lalu lintas kena ikutlah peraturan.
“Buatlah dakwah dan tidak ada sekatan sama sekali. Tapi ikutlah peraturan, itu sahaja kita minta,” katanya dalam pertemuan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Anwar dipercayai merujuk bantahan dibuat Pemuda PAS terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menurunkan reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang.
Bagaimanapun DBKL dalam kenyataan menjelaskan tindakan itu dibuat kerana ia menghalang laluan pejalan kaki, bukan menghalang aktiviti dakwah di ruang awam.
Menurut DBKL, hasil pemantauan di lapangan mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki iaitu kawasan awam dan perlu sentiasa bebas halangan.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kebebasan beragama tetap terjamin, namun pelaksanaannya tidak boleh bercanggah dengan peraturan sedia ada.
“Macam seperti mana kuil-kuil Hindu. Sembahyanglah sebanyak mana dia hendak pun. Buatlah kuil mana pun, tapi ikut peraturan lah. Tak boleh pacak kuil dan berhala, di mana tempat saja tidak boleh.
“Ada yang jawab dia kata surau di mana-mana, itu tak betul dan saya tahu dalam sejarah kita.
“Surau di Perak pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan,” katanya.