
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata motivasi dalam melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan harus didorong dengan semangat mujahadah iaitu usaha melawan hawa nafsu, yang bukan sahaja untuk menggapai cita-cita ukhrawi.
Anwar berkata, pada masa sama ibadat yang dilaksanakan turut meningkatkan disiplin kendiri, keinginan bekerja dengan sepenuh hati dalam tugas serta tanggungjawab harian.
“Puncak kenikmatan di sebalik amalan ini adalah pencapaian takwa yang harus dilaksanakan dengan ibadah puasa melalui proses tarbiah pembentukan watak, berakar kepada kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang dibangkitkan oleh rasa takut kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau turut memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas peluang untuk bertemu kembali dengan Ramadan yang mulia dan dirindui umat Islam.
Umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa esok.