
KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa pada Khamis, 19 Feb, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.
Pengumuman disiarkan secara langsung menerusi RTM malam tadi.
Proses melihat anak bulan Ramadan petang tadi melibatkan 29 lokasi, antaranya Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka; Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.