
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad, berkata siasatan kes tersebut juga merangkumi aspek penyeliaan terhadap anggota terbabit.
“Jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis dan pegawai penyelia sekiranya aduan tersebut berasas,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di daerah Ampang dan Ketua Polis Balai Pandan Indah, IPD Ampang Jaya telah membuat satu laporan polis semalam berhubung perkara itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Hida Hayati menerusi talian IPD Ampang Jaya 03-42897222 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail meminta wanita dalam video itu tampil untuk membantu siasatan.
“Susulan penularan video itu, anggota polis terlibat telah dikenal pasti dan dikeluarkan daripada penugasan semasa, siasatan tatatertib juga sedang dijalankan ke atas anggota terbabit,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, polis mengesan video berdurasi satu minit 30 saat itu pada kira-kira 5 petang semalam, selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok menggunakan akaun peribadi sebelum tular di Instagram.