Wang didakwa ditemui SPRM daripada keuntungan perniagaan, kata bekas pengarah JANS

Wang didakwa ditemui SPRM daripada keuntungan perniagaan, kata bekas pengarah JANS

Ag Mohd Tahir Mohd Talib kata sejumlah besar wang itu adalah daripada keuntungan perniagaan dengan rakan kongsi.

Mahkamah kota kinabalu
Bekas pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib berdepan pertuduhan pengubahan wang haram serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
PETALING JAYA:
Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) beritahu mahkamah bahawa sejumlah besar wang didakwa ditemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah daripada keuntungan perniagaan dengan rakan kongsi beliau.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, juga memberitahu Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini bahawa wang itu juga termasuk gajinya.

Dalam pernyataan saksi bertulis, Ag Tahir menamakan tiga rakan niaga tersebut yang termasuk abangnya, yang merupakan seorang kontraktor.

Menurutnya, beliau memberikan modal perniagaan kepada mereka menggunakan simpanan sendiri, dengan hanya perjanjian lisan tanpa sebarang hitam putih.

Beliau juga tidak ingat jumlahnya kerana ia berlaku sudah lama, katanya, lapor laman Sabah Media.

Dalam pada itu, Ag Tahir beritahu Hakim Abu Bakar Manat bahawa beliau menerima keuntungan RM5 juta, RM30 juta dan RM12 juta daripada rakan-rakan kongsi beliau.

Menurutnya, keuntungan diterima dalam bentuk tunai dan beliau mengetahui anggaran jumlah kerana ada mengira secara kasar hasil yang diterima daripada rakan-rakan niaga.

Menurutnya lagi, kenderaan mewah dan barangan lain yang didakwa dijumpai dibeli menggunakan wang keuntungan dan gaji.

Ag Tahir dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 60; dan bekas timbalan pengarah JANS, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong, 69.

Ketiga-tiga mereka berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah antara Okt hingga Nov 2016.

Perbicaraan akan disambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.