Umno akan saman pemfitnah pemimpin parti

Umno akan saman pemfitnah pemimpin parti

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia sebagai pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki ketika perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bukit Bintang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Umno akan mula mengambil tindakan tegas dengan memfailkan saman terhadap pihak menyebarkan fitnah atau mencemarkan nama baik pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah itu selari penubuhan Sekretariat Perundangan di peringkat ibu pejabat Umno yang berperanan memantau isu berkaitan.

“Selama ini bukan budaya Umno untuk menyaman atau menghantar tuntutan kepada mana-mana pihak, namun melihat kepada suasana semasa dan penggunaan media sosial secara rakus untuk memburukkan pemimpin Umno, kita berpandangan sudah tiba masa untuk bertindak lebih agresif,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bukit Bintang.

Asyraf berkata, parti lain sudah lama menggunakan saluran undang-undang bagi menangani penyebaran persepsi negatif dan dakwaan palsu terhadap pemimpin mereka.

Katanya, justeru Umno kini mengambil pendekatan serupa bagi memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, Asyraf turut memaklumkan Umno setuju menubuhkan Jabatan Pengundi Luar sebagai langkah strategik mendekati golongan berkenaan secara tersusun dan berterusan menjelang PRU akan datang.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan hampir 40% pengundi di beberapa Parlimen berada di luar kawasan asal mereka terutama di Lembah Klang dan Selangor.

“Jadi, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini, kita telah memutuskan untuk menerima cadangan Umno Bahagian Bukit Bintang bagi menubuhkan jabatan ini, agar pelbagai pendekatan dapat digarap untuk mendekati pengundi di kawasan Parlimen yang menjadi sasaran Umno dan Barisan Nasional.

“Sebagai contoh, kita boleh mengadakan program dan menyalurkan bantuan kepada mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.