NUTP gesa KPM tubuh jawatankuasa selesai isu beban tugas guru

NUTP gesa KPM tubuh jawatankuasa selesai isu beban tugas guru

Antara faktor utama isu itu masih berlarutan ialah sistem pengurusan dalam talian tidak mesra pengguna terutama bagi pengisian data yang membebankan pendidik.

Seramai 418,000 guru di seluruh negara masih terbeban dengan tugasan tidak berkaitan profesion perguruan mereka.
GEORGE TOWN:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu beban tugas guru secara menyeluruh dan tuntas, memandangkan perkara itu berlarutan sekian lama.

Presiden Aminuddin Awang berkata, seramai 418,000 guru di seluruh negara masih terbeban dengan tugasan tidak berkaitan profesion perguruan mereka.

“Kami berharap KPM dapat menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan segera kerana beban tugas yang tidak berkaitan dengan profesionalisme keguruan menjejaskan tumpuan guru terhadap tanggungjawab utama mereka.

“Walaupun isu ini telah lama dibangkitkan, penyelesaian tuntas masih belum dapat dirasai, terutama oleh guru di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media sempena kajian pertengahan penggal NUTP bagi sesi 2023–2026 di Teluk Bahang.

Beliau berkata, antara faktor utama isu berkenaan masih berlarutan ialah sistem pengurusan dalam talian tidak mesra pengguna, terutama bagi pengisian data yang membebankan golongan pendidik.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kewujudan pembantu guru di sekolah yang mempunyai lebih 1,500 murid juga dilihat belum mampu membantu secara efektif apabila masih terdapat guru terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran di pejabat sekolah.

Katanya, selain itu persidangan NUTP selama tiga hari bermula Sabtu lalu turut membangkitkan sembilan isu utama lain yang akan dikemukakan kepada kerajaan termasuk KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, antara cadangan dibangkitkan ialah keperluan KPM menggubal garis panduan khusus bagi mengelakkan gangguan terhadap guru di luar waktu kerja, kecuali bagi situasi mendesak.

Menurutnya, ketika ini guru sering diganggu menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram oleh pihak pentadbir sekolah atau pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk tugasan yang sebenarnya boleh diselesaikan pada keesokan hari dalam waktu bekerja.

Dalam perkembangan berkaitan, NUTP turut menggesa kerajaan menambah peruntukan bagi menggaji guru ganti dalam Belanjawan 2026, berikutan kekurangan kritikal guru ganti apabila guru tetap bercuti seperti cuti bersalin atau menunaikan haji.

NUTP juga meminta KPM menyelesaikan isu kekurangan guru akibat persaraan serta pertambahan kelas dan murid, selain meneliti semula kedudukan perjawatan bagi jawatan guru besar dan penolong kanan sekolah rendah yang ketika ini terhad kepada gred DG13 dan DG14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.