PAS dalam percubaan untuk peralihan kepimpinan, kata penganalisis

PAS dalam percubaan untuk peralihan kepimpinan, kata penganalisis

Tetapi, Awang Azman Pawi berkata ulama akan kekal berkuasa dan PAS berwaspada mendekati sayap profesionalnya.

abdul hadi awang
Hadi Awang dilantik presiden PAS sejak Jun 2002 dan kini Ahli Parlimen selama tujuh penggal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah terbaharu pemimpin PAS mungkin petanda parti itu dalam percubaan untuk menukar kepimpinan, menurut penganalisis politik yang berpendapat ia menghantar isyarat kemungkinan peralihan selepas lebih dua dekad bawah pimpinan Hadi Awang.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, berkata kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin baru-baru ini merupakan langkah strategik mengukur sentimen dalaman berhubung pengunduran Hadi.

Hashim dilaporkan berkata, semua jawatan termasuk dua jawatan tertinggi boleh dicabar pada muktamar parti akan datang.

“PAS mungkin dalam diam-diam bersedia untuk era pasca Hadi dan kenyataan ini menjadi pembukaan halus untuk peralihan terancang, bukan secara mendadak. Tetapi, semua ini bergantung sama ada puak ulama benar-benar bersedia berkongsi kuasa dengan teknokrat dan profesional dalam parti,” kata Awang Azman kepada FMT.

Petunjuk perlu diperhatikan termasuk nada dan kandungan ucapan Hadi pada muktamar September ini dan acara rasmi lain, khasnya jika beliau menekankan perpaduan, peralihan kuasa atau legasinya.

Hadi, 77, menerajui PAS sejak Jun 2002 dan kini dalam penggal ketujuhnya sebagai Ahli Parlimen Marang. Kesihatannya merosot beberapa tahun kebelakangan ini dan sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Walaupun pemimpin parti menegaskan Hadi kekal teras kepada identiti dan kekuatan PAS, persoalan mengenai peralihan kuasa semakin hangat diperkatakan disebabkan kemerosotan kesihatannya.

Spekulasi semakin memuncak susulan pencalonan Naib Presiden, Nik Amar Abdullah bagi jawatan timbalan presiden oleh bahagian Pengkalan Chepa, jawatan yang disandang Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kewibawaan Hadi tetap penting untuk perpaduan parti, khasnya dalam kalangan pengundi Melayu konservatif.

“Jika ada keperluan menggantikannya sebagai presiden, beliau mungkin dinaikkan ke peranan mursyidul am. Dengan cara itu, PAS mengekalkan autoriti simbolik Hadi sambil membuka ruang untuk kepimpinan baharu.”

Ulama masih memimpin, tetapi perubahan semakin hampir

Awang Azman menjangkakan ulama akan terus mendominasi keputusan parti, tetapi perubahan sudah berlaku secara senyap, seperti di Terengganu, di mana jurutera aeroangkasa yang menjadi ahli politik, Samsuri Mokhtar dilantik menteri besar.

“Tetapi, struktur Majlis Syura dan budaya wala’ yang kuat dalam PAS bermakna perubahan ini akan berlaku secara perlahan dan terkawal.

“Ulama tidak diketepikan, tetapi dijangka berkongsi ruang kepimpinan dengan teknokrat. PAS mungkin bergerak ke arah model kepimpinan dua hala dengan presiden daripada kalangan ulama dan timbalan dalam kalangan teknokrat atau profesional.”

Fauzi pula berkata, PAS sedar parti perlu menyesuaikan diri untuk berkembang di kawasan lebih pelbagai seperti Lembah Klang, Sabah serta Sarawak, dan itu bermaksud memberi peranan lebih besar kepada profesional.

“Tetapi, peralihan ini tidak boleh berlaku sehingga menenggelamkan atau menimbulkan kekecohan dalam puak ulama kerana di sinilah terletaknya sokongan teras PAS, di kawasan Melayu utara dan timur laut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.