Suri rumah mengaku tak salah muat naik hantaran jelik terhadap Agong

Suri rumah mengaku tak salah muat naik hantaran jelik terhadap Agong

Ibu kepada enam anak, Suhaila Abd Halim direman selepas gagal membayar jaminan RM10,000.

Woman charged with posting offensive remarks
Suri rumah Suhaila Abd Halim di Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana memuat naik hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di media sosial awal tahun ini.

Suhaila Abd Halim, 38, didakwa menggunakan akaun Facebook bernama “Suhaila Halim” untuk memuat naik komen jelik mengenai Agong di Hospital Sungai Buloh kira-kira 8.30 pagi 4 Jan lalu.

Ibu kepada enam anak itu didakwa atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa denda maksimum RM500,000 dan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan, susulan pindaan undang-undang berkuat kuasa 11 Feb lalu.

Disebabkan kesalahan yang didakwa dilakukan Suhaila berlaku sebelum itu, dia berdepan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Azmir Razali mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tetapi, Suhaila yang tidak diwakili peguam memohon jaminan RM500 kerana dia tidak bekerja dan bergantung kepada suaminya dari segi kewangan.

Hakim Norazlin Othman memerintahkan dia membayar ikat jamin RM10,000 dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sementara menunggu keputusan kesnya.

Suhaila kemudian direman kerana gagal membayar ikat jamin.

Sebutan kes ditetapkan 17 Sept ini untuk Suhaila melantik peguam dan bagi pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.