
Violet Yong (DAP-Pending) berkata langkah untuk menambah jumlah kerusi dalam DUN daripada 82 kepada 99 adalah ‘tidak kena pada masa, tidak adil, tidak perlu dan bermotifkan politik’.
“Kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya menambah kerusi di kawasan yang boleh dimenanginya, bukan di tempat yang benar-benar memerlukannya berdasarkan bilangan pengundi.
“Ini adalah manipulasi sempadan pilihan raya yang diselindung sebagai reformasi,” katanya dalam sidang khas DUN hari ini.
Yong berkata penambahan kerusi yang dilakukan tanpa rundingan awam dan hanya akan memburukkan lagi ketidaksamaan nilai undi antara kawasan luar bandar dan bandar.
“Dalam kawasan saya sendiri, Pending, terdapat hampir 30,000 pengundi berdasarkan angka 2021. Gedong, sebuah kerusi luar bandar, mempunyai kurang daripada 10,000. Namun kedua-duanya memilih seorang Adun. Ini bermakna satu undi di Gedong membawa hampir tiga kali ganda nilai berbanding satu undi di Pending.
“Jika GPS mahu mencadangkan dua kerusi DUN baharu dalam kawasan parlimen Petra Jaya, mengapa tidak juga menambah dua lagi kerusi di (kawasan parlimen) Bandar Kuching atau Stampin?” soalnya.
Kedua-dua kerusi parlimen Bandar Kuching dan Stampin disandang oleh DAP. Kawasan Pending yang diwakili Yong terletak dalam kawasan Bandar Kuching.
Yong turut berkata penambahan kerusi baharu akan melibatkan kos yang tinggi dan berlaku pada ketika ramai rakyat Sarawak sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan kemudahan asas yang tidak mencukupi di negeri itu.
“Kerajaan GPS telah memilih untuk mengutamakan penambahan lebih ramai ahli politik daripada menangani keperluan sebenar rakyat.”
Chong Chieng Jen (DAP–Padungan) turut membantah cadangan penambahan kerusi DUN, dengan berkata bahawa keluasan tanah Sarawak semata-mata tidak cukup untuk membenarkan penambahan wakil rakyat.
Beliau berkata nisbah pengundi kepada wakil rakyat yang dipilih di Sarawak sudah pun rendah dan masih boleh diurus berbanding kawasan besar lain, seperti di Australia.
“Di Victoria, seorang Adun mewakili 79,000 pengundi. Di New South Wales, kira-kira 90,000. Sebaliknya, di Sarawak, seorang Adun hanya mewakili kira-kira 34,000 pengundi dan meliputi 1,517 km persegi,” kata Chong.
Beliau berkata walaupun keluasan tanah Sarawak adalah 124,450 km persegi, komposisi sedia ada sebanyak 82 kerusi tetap menunjukkan beban kerja yang lebih ringan bagi setiap wakil rakyat berbanding di banyak negeri Australia.
“Dengan penambahan yang dicadangkan, nisbah itu akan menurun lagi, kepada seorang Adun bagi setiap 25,454 orang dan 1,257 km persegi,” katanya.
Speaker Asfia Awang Nassar kemudian mencelah, mengingatkan Chong bahawa Sarawak berada dalam Malaysia, bukan Australia.
Chong membalas bahawa beliau sekadar memberikan contoh perbandingan. Beliau menambah bahawa adalah lebih baik untuk Sarawak memperjuangkan penambahan kerusi Parlimen.
Sebelum Chong memulakan perbahasannya, Asfia memberi amaran supaya beliau tidak mencabar asas undang-undang bagi penambahan kerusi tersebut.
Asfia berkata penyempadanan semula kawasan pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukan kerajaan Sarawak.
“SPR yang menjalankan, dari semasa ke semasa, penyempadanan semula kawasan—bukan kerajaan GPS, dan bukan dewan ini. Itu keputusan saya,” kata Asfia.