
Azmi Hassan berkata bukan rahsia wujud perbincangan supaya peralihan termasuk membabitkan dua pemimpin tertinggi itu pada pemukiman Bersatu di Perak, tahun lalu namun seolah-olah tergantung tanpa ada pengumuman lanjut.
Menurut felo Majlis Profesor Negara itu, ketiadaan pengumuman berkenaan mungkin disebabkan kedudukan kukuh Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Namun setahun selepas itu masih tiada perubahan, mengakibatkan ada timbulkan semula untuk beri isyarat tersirat,” katanya kepada FMT sambil tidak menolak kemungkinan akan ada bahagian Bersatu membuat usul sama.
Persidangan Bersatu Port Dickson, Ahad lalu meluluskan usul yang mencadangkan peralihan kepimpinan nasional secara terancang dengan Hamzah menggantikan Muhyiddin sebagai presiden manakala bekas perdana menteri itu diangkat sebagai penasihat dan mentor.
Timbalan Ketua Bersatu Port Dickson Akkil Aizat Othman yang membawa usul itu berkata cadangan berkenaan bukan untuk menolak Muhyiddin tetapi bagi memastikan kestabilan dan hala tuju jelas menjelang PRU16, kerana parti kini dilihat terlalu perlahan membuat persiapan.
Bagaimanapun cadangan itu ditolak oleh Pemuda Bersatu dan Bersatu Negeri Sembilan.
Muhyiddin mempertahankan kedudukan presiden pada pemilihan Bersatu, November lalu selepas setahun sebelumnya mahu berundur.
Hamzah pula menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden. Sebelum itu, beliau memegang jawatan setiausaha agung yang kini disandang Azmin Ali.

Sementara itu Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata persaingan merebut jawatan presiden disandang Muhyiddin bukan sesuatu mengejutkan yang dilihat semakin ketara kini.
Lau berkata ketika Muhyiddin masih sihat dan memegang tampuk kepimpinan dengan pengaruh yang kuat, tidak ramai yang berani mencabarnya, sambil menambah Hamzah berpotensi menggalas tanggungjawab itu berbanding Azmin dari segi kedudukan semasa.
“Kena fikir kenapa orang rebut jadi presiden parti kerana jika parti itu menang PRU16, presiden parti adalah calon perdana menteri,” katanya.