
Beliau berkata, proses tindakan susulan berhubung mengikut prosedur perundangan berhubung perkara itu akan diusahakan secepat mungkin.
“Mengenai titah addendum, saya sudah bertemu dengan perdana menteri dan kami sudah mengadakan perbincangan secara terperinci kaedah perundangan yang harus diikuti … InsyaAllah akan ada tindakan susulan yang akan dilakukan mengikut prosedur perundangan.
“Proses ini akan diusahakan secepat mungkin dan proses perundangan ini sangat bergantung kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan ini harus dihormati oleh kita semua,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kangar hari ini, lapor Harian Metro.
Zahid menambah, proses perundangan menerusi titah adendum itu juga akan melalui Lembaga Pengampunan.
“Langkah ini tetap akan melalui proses perundangan melalui Lembaga Pengampunan dan pengerusi Lembaga Pengampunan ini ialah Agong,” katanya.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Bekas perdana menteri itu memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.