Ahli Parlimen DAP selar pemimpin MCA kritik lawatan ibu pejabat Umno

Ahli Parlimen DAP selar pemimpin MCA kritik lawatan ibu pejabat Umno

Chong Zhemin berkata taklimat pada 1 Ogos dipengerusikan Zahid Hamidi berkait dasar TVET.

Chong Zhemin Mah Hang Soon
Chong Zhemin (kiri) berkata kenyataan Mah Hang Soon berkait taklimat untuk Ahli Parlimen DAP itu berunsur lucah dan bertujuan menimbulkan perpecahan dalam kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin menyelar Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon berhubung kenyataan di media sosial yang memperlekehkan 30 Ahli Parlimen DAP melawat ibu pejabat Umno untuk taklimat mengenai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Chong berkata, kenyataan Mah itu termasuk penggunaan ayat yang dianggap beliau sebagai lucah adalah satu bentuk penghinaan dan bertujuan menimbulkan perpecahan dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata taklimat pada 1 Ogos itu, yang dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri yang juga Presiden Umno Zahid Hamidi dalam kapasiti sebagai pengerusi Majlis TVET Negara, adalah semata-mata berkaitan hal dasar.

“Tujuan lawatan 30 Ahli Parlimen DAP adalah jelas: untuk memperkukuh penyelarasan dasar mengenai TVET, menambah baik peruntukan sumber dan menggalakkan kerjasama antara kementerian,” katanya dalam kenyataan.

“Ia merupakan sebahagian daripada penyelarasan pentadbiran biasa dalam kerajaan perpaduan. Ia tiada kaitan dengan simbolisme politik, dan sudah tentu tidak memerlukan kritikan yang tidak diminta daripada MCA melalui lensa kepartian sempit.”

Chong turut mempertahankan pemilihan lokasi taklimat tersebut, dengan menyatakan bahawa ibu pejabat Umno merupakan salah satu pejabat rasmi Zahid.

Beliau mempersoalkan, mengapa Mah tidak menyuarakan bantahan yang sama apabila pemimpin MCA, termasuk presiden dan ketua pemuda parti itu, pernah mengunjungi bangunan tersebut semasa berada dalam kerajaan.

Pemimpin DAP yang menghadiri taklimat itu termasuk Setiausaha Agung Loke Siew Fook, Penasihat Lim Guan Eng dan Naib Pengerusi Chong Chieng Jen.

Turut hadir Naib Presiden Umno Johari Ghani dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.