Buat repot terhadap testimoni palsu dalam inkuiri, Suhakam diberitahu

Buat repot terhadap testimoni palsu dalam inkuiri, Suhakam diberitahu

Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron berkata pelanggaran sumpah secara berulang tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan tanpa tindakan.

Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron, berkata siasatan polis tidak akan menghalang tugas Suhakam, memandangkan laporan tertumpu pelanggaran undang-undang secara khusus.
PETALING JAYA:
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membuat laporan polis terhadap pegawai penjara didakwa tidak bercakap benar di bawah sumpah, berkait insiden serangan di Penjara Taiping, pada 17 Jan lalu.

Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron, berkata ia bukan kali pertama pegawai berkenaan memberikan keterangan palsu dalam inkuiri awam itu.

Azura berkata, pada Mac, beberapa kakitangan Penjara Taiping yang telah memberikan keterangan setakat ini memulakan testimoni mereka dengan penafian dalam sebarang penglibatan dalam memukul dan/atau menendang tahanan.

Katanya, apabila rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) ditayangkan, hanya sebahagian pegawai yang akhirnya mengakui perbuatan mereka, setelah berulang kali diingatkan oleh panel inkuiri bahawa mereka berada di bawah sumpah.

Beliau menegaskan, pelanggaran sumpah secara berulang tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan tanpa tindakan.

“Sekiranya Suhakam gagal bertindak sekarang walaupun terdapat bukti yang jelas mengenai keterangan palsu, ia berisiko mewujudkan duluan yang buruk untuk inkuiri-inkuiri pada masa akan datang.

“…dan seterusnya menjejaskan kebebasan, keberkesanan serta integriti mandat perlindungan hak asasi manusia Suhakam sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan berstatus A,” katanya.

Inkuiri awam itu telah menyaksikan sekurang-kurangnya seorang warden penjara ditegur secara terbuka oleh Suhakam kerana berbohong semasa memberi keterangan di bawah sumpah, selepas rakaman CCTV membuktikan penafiannya tidak benar.

Azura juga menolak dakwaan membuat laporan polis akan mewujudkan ‘siasatan dalam siasatan’, memandangkan inkuiri Suhakam memberi tumpuan untuk mengenal pasti kegagalan sistemik melalui insiden serangan, manakala siasatan polis terhadap laporan tertumpu pelanggaran undang-undang secara khusus.

Beliau memberi amaran kelewatan mengambil tindakan akan menghantar isyarat salah mengenai tahap toleransi terhadap keterangan palsu dan melemahkan keyakinan awam terhadap hasil inkuiri tersebut.

Ketika dihubungi FMT, Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus berkata beliau enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.