
Ketua Penerangan Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah (MBD SPT), Mohd Nazirullah Nordin, ia juga mampu memperkukuh budaya demokrasi dan memastikan pertubuhan belia kekal digerakkan oleh kelompok usia sebenar belia.
“Dalam kerangka pembangunan institusi belia, penetapan umur yang jelas membantu menyusun pelan peralihan kepimpinan dan pengkaderan.
“Ia juga memastikan organisasi belia kekal relevan dan digerakkan oleh mereka yang berada dalam kategori usia sebenar belia,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].
Menurut Hannah, keputusan itu kekal meskipun ada kebimbangan dan permintaan daripada beberapa pertubuhan belia supaya pelaksanaannya ditangguhkan.
Selain itu, Nazirullah menyambut baik pelaksanaan takrif umur belia sebagai individu berumur bawah 30 tahun, sejajar dengan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) yang telah diluluskan di Parlimen.
Katanya, ia turut menepati piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Unesco.
“Langkah ini bukan sahaja selaras dengan hala tuju dasar negara, malah membawa beberapa kelebihan dari sudut akademik, dasar dan pembangunan sumber manusia,” katanya.