KDN beri perhatian penuh kebajikan keluarga polis maut dirempuh penjenayah

KDN beri perhatian penuh kebajikan keluarga polis maut dirempuh penjenayah

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris akan disalurkan segera.

polis maut dirempuh
Mohd Hafizul Izham Mazlan maut dirempuh dan digilis kenderaan dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah di Alor Setar, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan kebajikan keluarga anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam kejadian di Alor Setar semalam akan diberi perhatian sepenuhnya.

Beliau berkata, Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang maut selepas dirempuh penjenayah di Taman Golf, Alor Setar, cerminan keberanian dan semangat juang tinggi anggota barisan hadapan menjaga keselamatan negara.

Katanya, kerajaan akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris disalurkan segera.

“Urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham juga akan diuruskan oleh PDRM dengan penuh penghormatan yang sewajarnya dengan jasa bakti beliau kepada negara.

“Tindakan beliau yang tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara adalah sesuatu yang amat kami hargai dan sanjungi.

“Pengorbanan seperti ini menjadi inspirasi kepada semua barisan anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM,” katanya dalam kenyataan.

Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu, meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia empat hingga 11 tahun.

Polis berpangkat koperal itu maut dirempuh dan digilis kenderaan dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah kira-kira 3.30 petang, semalam.

Empat suspek pecah rumah berkenaan sudah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 akta sama kerana pecah rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.