
Artis terkenal itu tampil Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, sambil ditemani peguam Aizat Izuan Shakeel, susulan memenangi anugerah dalam sebuah acara hiburan, baru-baru ini.
Aizat berkata, laporan polis tersebut merupakan jalan terakhir diambil Sophia kerana berasakan semua gangguan itu memberi impak terhadap kesihatan mental dan kerjaya seninya.
“Kami sudah selesai membuat laporan polis di Balai Polis Travers hari ini.
“Laporan polis ini adalah berhubung siri serangan digital melampau, merangkumi kecaman berunsur lucah, penghinaan, ugutan, dan gangguan seksual secara terbuka terhadap Sophia yang telah beliau hadapi.
“Ini adalah rentetan selepas dia diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat pada 3 Ogos lalu,” katanya menurut Kosmo.
Beliau berkata, Sophia terpaksa menerima pelbagai kecaman dan tuduhan liar berbaur fitnah.
“Ada yang mendakwa kononnya beliau berdrama ketika menerima anugerah itu semata-mata untuk meraih publisiti murahan.”
Katanya, komen diterima Sophia juga menjijikkan yang bukan sahaja telah merendahkan martabatnya sebagai seorang wanita, malah menormalkan budaya gangguan seksual dalam talian.
“Semua benda ini dilakukan dengan niat untuk memperlekehkan dan menjatuhkan maruahnya di ruang awam,” katanya.
Dalam pada itu, Sophia enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segala urusan berkait kepada peguam.