
Kenyataan presiden MCA menyusul ‘ugutan’ ketua Pemuda Umno akan beri ‘kelas’ kepada pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang mengenai cara memasang bendera dengan betul jika lelaki itu tidak didakwa di mahkamah esok.
“Sekiranya tiada langsung pendakwaan terhadap individu ini, pada Khamis saya akan turun dan kita akan beri kelas untuk ajar ‘apek’ ini cara bagaimana nak pasang bendera dengan betul,” kata Akmal dalam video di Facebook, semalam.
Wee berkata, pemimpin harus membangkitkan semangat patriotisme melalui pendidikan, teladan dan tindakan yang wajar bukannya memainkan peranan sebagai penguat kuasa lantikan sendiri.
Katanya, mengubah kesilapan menjadi isu politik hanya memecahbelahkan dan tersasar daripada tumpuan sebenar untuk bersama membangunkan negara.
“Kita tidak menguruskan negara ini hanya bersandarkan kepada telunjuk orang politik yang wajib dilaksanakan.
“Ugutan seperti ini hanya akan menambah perpecahan rakyat. Di saat masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan patriotik, kini semangat itu mungkin tidak lagi berkobar-kobar.
“Mereka mungkin merasakan, kenapa mahu mengambil risiko mengibarkan Jalur Gemilang kerana jika berlaku kesilapan, mereka sendiri yang diancam dan dijadikan mangsa orang politik?” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, paling dikhuatiri jika masyarakat mengambil keputusan tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan ini amat menyedihkan di saat kita sedang meraikan kemerdekaan negara.
“Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, manakala kita pula tidak mempolitikkannya,” katanya.
Kelmarin, polis menahan pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun kerana mengibarkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata kertas siasatan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya dan akan dirujuk ke Putrajaya bagi mendapat arahan lanjut.
Katanya, sebanyak 16 laporan polis mengenai kejadian itu diterima di seluruh negara termasuk 12 dari Pulau Pinang.