
Menteri Pertahanan Khaled Nordin memberi jaminan itu ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara hari ini.
Tegasnya, operasi risikan tentera tidak terjejas kerana maklumatnya bersifat terasing.
“Ini bermakna pangkalan data dan maklumat strategik diasingkan secara terancang bagi mencegah berlakunya kebocoran maklumat,” katanya.
“Selain itu, audit keselamatan dalaman juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sistem maklumat dan kawalan keselamatan anggota benar-benar kukuh dan bebas daripada kelemahan.”
Khaled berkata, audit itu melibatkan semakan latar belakang dan tapisan keselamatan pegawai serta anggota.
Beliau mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Senator Salehuddin Saidin dan Wan Martina Wan Yusoff berhubung dakwaan pegawai yang ditahan membocorkan maklumat operasi kepada penyeludup.
Pada 13 Ogos lepas, sumber SPRM melaporkan agensi itu melumpuhkan satu sindiket penyeludupan di selatan negara, dipercayai didalangi oleh pegawai kanan tentera.
Menurut sumber, lima pegawai kanan dan lima orang awam, termasuk seorang warga Indonesia, ditahan sekitar Lembah Klang dalam operasi gabungan Bahagian Perisikan SPRM dan Skuad Taktikal Antirasuah.
“Pegawai kanan terbabit daripada Bahagian Perisikan tentera, termasuk dua bekas anggota dari unit sama,” kata sumber.
“Mereka sepatutnya memantau dan mengekang kegiatan penyeludupan, namun dipercayai bersubahat dengan sindiket itu sejak lima tahun lepas, mengaut sogokan lebih RM3 juta.”
Siasatan awal mendedahkan kelima-lima pegawai kanan itu disyaki memudahkan kemasukan barangan larangan, termasuk dadah dan rokok dari negara jiran, bernilai sekitar RM5 juta sebulan.