‘Kami ada cara sendiri pikat bukan Melayu’, PAS beritahu Ti

‘Kami ada cara sendiri pikat bukan Melayu’, PAS beritahu Ti

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata PAS hormat saranan Ti Lian Ker namun menyifatkan ia 'pandangan orang luar'.

Mohd Amar Abdullah Ti Lian Ker
Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata PAS ada kajian dan perancangan sendiri sekali gus menolak saranan Ti Lian Ker.
PETALING JAYA:
PAS mempunyai pendekatan dan strategi politik tersendiri dalam ‘memikat’ pengundi Cina dan India sekali gus menolak saranan bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker.

Naib Presiden, Mohd Amar Abdullah, berkata pihaknya menghormati saranan Ti namun menyifatkan ia ‘pandangan orang luar’.

“Dia (Ti) orang luar, cakap cara pandangan orang luar. Kita ada pandangan dan strategi kita tersendiri, kita pun ada kajian yang kita buat dan perancangan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ti menggariskan beberapa strategi untuk PAS menarik pengundi Cina dan India termasuk meninggalkan retorik agama serta politik.

Katanya, PAS seharusnya menumpukan isu memberi kesan kepada rakyat, bukan terus memainkan naratif ketuanan Melayu dan politik Islam yang menurutnya menakutkan pengundi bukan Melayu-Islam.

Menurutnya, pengundi India dan Cina cenderung menilai sesebuah parti berdasarkan cara ia menyelesaikan isu berkaitan ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan selain perlu mendekati masyarakat itu dengan ikhlas, bukan melihat mereka hanya melalui lensa politik.

Kenyataan itu hadir susulan ‘pelawaan’ Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kepada MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN), selepas beberapa bahagian negeri MIC dan MCA mendesak parti masing-masing keluar Barisan Nasional (BN) kerana rasa tidak puas hati terhadap ketiadaan jawatan dalam kerajaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Hanafiah Mat, menggesa semua pihak melihat fakta sebenar terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian partinya terhadap masyarakat bukan Islam.

Adun Chukai itu menegaskan, PAS sentiasa mengangkat kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama, sambil menolak dakwaan parti itu mengamalkan politik retorik kerana asas perjuangannya adalah membawa keberkatan, keadilan dan kesejahteraan dalam pemerintahan.

“Jangan hanya membuat andaian berpandukan persepsi atau laporan media semata-mata. Dengarlah secara langsung daripada PAS melalui dialog, pertemuan, dan keterlibatan bersama pimpinan serta ahli kami, agar gambaran diterima lebih adil dan tepat,” katanya.

Katanya, parti itu sudah membuktikan keterbukaaan apabila Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) diiktiraf sebagai ahli bersekutu rasmi selepas pindaan perlembagaan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 8 Ogos lalu.

Hanafiah turut mempelawa Ti menyertai DHPP disebabkan tindakannya yang mencadangkan beberapa strategi kepada parti Islam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.