
Ditemui media selepas satu program di sini, Muhyiddin berkata ini kerana kesahihan kandungannya belum dapat dipastikan.
“Saya biasa tak layan surat layang. Tapi sebagai presiden saya ambil perhatian perkara itu.
“Saya pun tidak tahu apa cerita sebenarnya, betulkah atau tidak ataupun sengaja diuar-uarkan atau omong kosong,” katanya mengulas kritikan pemimpin akar umbi terhadap penyebaran surat layang berniat jahat itu.
Surat itu mendakwa Hamzah ‘menikam dari belakang’, menyatakan Muhyiddin pernah berjanji melepaskan jawatan presiden atau melantiknya sebagai pengganti.
Ia juga mendakwa Hamzah menyalah guna formula pemilihan parti untuk fitnah ‘janji serah kuasa’ yang memecahbelahkan perpaduan Bersatu.
Muhyiddin dan timbalannya Hamzah, masing-masing tidak dicabar dalam pemilihan Oktober lalu.
Pada pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027, perdana menteri kelapan itu menang tanpa bertanding jawatan presiden.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau tidak dapat meramalkan sama ada perkara itu akan dibangkitkan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) hujung minggu ini.
“Kita ini berpandukan kepada kesahihan, kita tidak bertindak atas dasar khabar-khabar angin dan sebagainya,” katanya.