
Ahli Parlimen Miri dari PKR Chiew Choon Man berkata beliau kecewa kerana ada pegawai serta ahli politik negeri itu terus membuat dakwaan melulu tanpa menyemak fakta sebenar, lapor Borneo Post.
Beliau berkata demikian ketika menolak dakwaan syarikat minyak negara Petronas mengaut 95% hasil O&G dari Malaysia Timur, dengan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan memutarbelitkan rejim fiskal petroleum negara.
Chiew berkata dakwaan itu tidak menggambarkan realiti kos operasi dan risiko perniagaan yang terlibat dalam penerokaan serta pengeluaran petroleum luar pesisir.
“Selepas menjalankan kajian dan berunding dengan pemain industri serta pakar dalam bidang ini, jelas dakwaan itu tidak berasas dan tidak menggambarkan realiti sebenar,” katanya.
Beliau berkata antara 70% hingga 80% hasil O&G digunakan untuk membiayai operasi, bermula daripada penerokaan luar pesisir sehingga ke peringkat pengeluaran.
Katanya, daripada baki 20% hingga 30%, kira-kira 5% disalurkan terus kepada kerajaan negeri masing-masing manakala 5% lagi kepada kerajaan persekutuan.
Chiew berkata sebahagian daripada baki 10% hingga 20% hasil dikongsi dengan rakan kongsi perkongsian pengeluaran Petronas dan seterusnya dikurangkan lagi oleh kos sampingan.
“Baki yang tinggal itulah yang akhirnya pergi kepada kerajaan persekutuan melalui dividen dan cukai untuk tujuan pembangunan negara.”
Beliau menambah bahawa Petronas menanggung risiko perniagaan yang besar memandangkan kadar kejayaan komersial telaga penerokaan luar pesisir hanya sekitar 20% hingga 25%.
Walaupun mengakui pembangunan Sarawak dan Sabah ketinggalan walaupun kaya dengan sumber asli, Chiew menyifatkannya berpunca daripada faktor sejarah dan bukannya dasar semasa pentadbiran persekutuan.
“Adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan atas kerajaan persekutuan, yang baharu memegang kuasa selama dua tahun dan sedang bekerja keras untuk membetulkan ketidakseimbangan sejak berdekad lamanya,” katanya.
Kenyataan beliau dibuat dua hari selepas bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata margin keuntungan Petronas daripada projek O&G hanya sekitar 10% hingga 15% selepas mengambil kira kos pembangunan yang tinggi dan pembayaran dividen.
Rafizi menjawab dakwaan Penasihat Undang-Undang Sarawak JC Fong yang dilaporkan berkata Petronas mengaut 95% hasil O&G negeri itu sejak lima dekad lalu.
Kata Rafizi, kenyataan itu tidak tepat dan hanya mengambil angka ‘separuh-separuh’ selain gagal menjelaskan perbelanjaan ratusan bilion ringgit ditanggung Petronas untuk membangunkan industri O&G di Malaysia Timur.