549 kes peminjam JPA tak bayar hutang dirujuk ke AGC

549 kes peminjam JPA tak bayar hutang dirujuk ke AGC

JPA rancang senarai hitam waris peminjam culas sehingga semua tunggakan hutang langsai.

Dr Zaliha Mustafa
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, kes-kes yang dirujuk kepada AGC melibatkan tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM81.2 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 549 kes peminjam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang culas membayar hutang telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, JPA sudahpun mengeluarkan notis tuntutan kepada peminjam yang mungkir membayar balik pinjaman lebih enam tahun dan kes mereka dirujuk kepada AGC untuk tindakan perundangan jika masih berdegil.

Daripada 549 kes melibatkan tunggakan berjumlah RM81.3 juta itu, hanya RM17.5 juta berjaya dikutip semula selepas dirujuk kepada AGC, tambahnya.

“(Baki) RM63.79 juta pula masih dalam tindakan undang-undang (oleh AGC),” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2025 peringkat kementeriannya.

Laporan audit itu mendedahkan, JPA menjadi penyumbang terbesar kepada akaun belum terima Jabatan Perdana Menteri bagi 2024, iaitu sebanyak RM352.5 juta atau 76.1% daripada jumlah keseluruhan RM463.21 juta.

Bayaran balik pinjaman JPA dan penalti berkaitan berjumlah RM341.5 juta, atau 96.9% daripada akaun belum terima jabatan itu

Jelas Zaliha, jumlah tunggakan sebanyak RM341.5 juta itu sebenarnya menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 2.2% berbanding RM349 juta yang direkodkan pada 2023.

Menurutnya, JPA sedang bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan maklumat terbaru peminjam yang ingkar, di samping memperkasa mekanisme kutipan sedia ada.

Selain itu, JPA bercadang menubuhkan satu unit khas bagi menyegerakan proses kutipan bayaran balik pinjaman, serta akan menyenarai hitam waris peminjam daripada sebarang tawaran biasiswa sehingga hutang tersebut dilangsaikan.

Walaupun wujud isu peminjam yang gagal membayar balik, Zaliha berkata, kerajaan tidak menganggap pinjaman JPA sebagai satu bebanan, sebaliknya ia pelaburan sosial jangka panjang kepada masyarakat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.