Restoran mamak rayu pengambilan 15,000 pekerja asing

Restoran mamak rayu pengambilan 15,000 pekerja asing

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia Jawahar Ali Taib Khan langkah itu demi kelangsungan perniagaan.

Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan, berkata pengambilan itu tidak menambah nisbah pekerja asing dalam sektor F&B. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengulangi rayuan kepada kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing gantian yang diyakini mampu menangani isu kekurangan pekerja.

Jawahar Ali Taib Khan, selaku presiden yang mewakili 10,000 rangkaian restoran di seluruh negara, berkata mereka memerlukan sekurang-kurangnya 15,000 pekerja asing demi kelangsungan perniagaan.

“Kaedah ini telus malah tidak akan menambah nisbah pekerja asing dalam sektor makanan dan minuman (F&B). Penggunaan pekerja asing khususnya restoran India Muslim kami tidak sampai 10% dari jumlah keseluruhan di negara ini.

“Harap kementerian-kementerian berkaitan dapat memperhalusi dan mempertimbang agar pekerja gantian itu diberi secepat mungkin,” katanya pada sidang media sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Presma ke-21.

Dalam pada itu, Jawahar turut menggesa penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) diselaraskan bagi memudahkan urusan penginapan pekerja asing.

“Ada sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membenarkan pekerja asing duduk atas premis restoran. Ada sesetengah tak benarkan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Menjawab luahan Presma, Fuziah berkata pihaknya akan membantu sekiranya ada sesi libat urus diadakan berhubung isu gantian pekerja asing seperti dibangkitkan.

“Dari segi penguatkuasaan pekerja asing juga melibatkan kementerian lain seperti Kesuma dan Kementerian Dalam Negeri.

“Kami akan cuba jadi pemudah cara jika diberi ruang,” katanya.

Gesaan sama pernah dibuat Presma pada Januari lalu. Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.