
Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) berkata, pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini gagal menyentuh kelemahan struktur percukaian negara dan tidak menyebut perihal cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Sebaliknya, Belanjawan 2026 terus memperkasakan e-invois, satu langkah birokratik yang meningkatkan kos pematuhan tanpa membetulkan kelemahan sistem.
“Pelaksanaan GST secara berfasa, berserta pengecualian terhadap barangan keperluan, akan menjadi model yang lebih adil dan telus,” kata Insap dalam kenyataan selepas belanjawan dibentangkan hari ini.
“Tindakan meningkatkan kutipan melalui penguatkuasaan tanpa kesediaan untuk membuat pembaharuan adalah satu pendekatan yang mungkin selamat dari segi politik, tetapi rapuh dari sudut ekonomi.”
GST yang diperkenalkan pada kadar 6% pada 2015 dimansuhkan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 2018.
Cukai itu menjana pendapatan negara sebanyak hampir RM185 bilion antara April 2015 hingga Mei 2018.
Pada Julai, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menolak cadangan pelaksanaan semula GST buat masa ini, menyifatkannya sebagai ‘tidak praktikal’ berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
Katanya, kerajaan tidak mempertikaikan kelebihan sistem GST, namun berpendapat pelaksanaannya ‘tidak sesuai buat masa ini’
Pada Jun, Anwar menegaskan, Putrajaya hanya akan mempertimbangkan pengenalan semula GST jika ekonomi negara bertambah baik dan kadar gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang skopnya diperluas mulai 1 Julai, diunjurkan menjana hasil tambahan RM5 bilion bagi separuh kedua 2025 dan menyumbang sejumlah RM10 bilion hasil baharu pada 2026.