Belanjawan besar kekal meski jangkaan dividen Petronas turun, kata menteri

Belanjawan besar kekal meski jangkaan dividen Petronas turun, kata menteri

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan mempunyai asas ekonomi kukuh dengan sokongan hasil pelbagai bagi tampung Belanjawan 2026.

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyediakan Belanjawan 2026, mengambil kira andaian harga minyak dan gas yang realistik.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan masih mampu membentangkan peruntukan besar menerusi Belanjawan 2026 walaupun jumlah dividen daripada Petronas dijangka berkurang tahun depan kerana mempunyai asas ekonomi kukuh.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata asas itu itu disokong hasil yang pelbagai, bukan semata-mata bergantung sumbangan daripada syarikat minyak dan gas nasional itu.

Menurutnya, dalam penyediaan Belanjawan 2026, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengambil kira andaian harga minyak dan gas yang realistik.

“Dari segi harga minyak dan gas, bajet selalu ada jangkaan. Kalau kita tak menekan Petronas memberi lebih, jika harga minyak turun, kemungkinan dividen akan turun selari penurunan.

“Ini menunjukkan keadaan sebenar,” katanya ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan bukan hanya memastikan aliran tunai jangka pendek, tetapi juga mengekalkan kemampuan Petronas untuk terus melabur dan membangunkan industri petroleum di luar negara bagi menjana pulangan masa depan kepada negara.

“Yang penting untuk kita ialah Petronas terus ada cukup dana untuk membangunkan industri petroleum di luar negara agar pulangannya dapat pulang ke Malaysia.

“Setakat mana mereka boleh, mereka akan menolong dengan segi dividen,” katanya.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi diterbitkan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata hasil kerajaan daripada sektor petroleum dijangka terus berkurang pada 2026 kepada RM43 bilion, bersamaan 12.5% daripada jumlah hasil kerajaan.

Penurunan ini disebabkan harga minyak mentah dunia yang rendah dan pengurangan dividen daripada Petronas.

Menurut MoF, Petronas dijangka membayar dividen sebanyak RM20 bilion tahun depan, manakala cukai pendapatan petroleum (PITA) dianggarkan RM15.7 bilion dan royalti petroleum sebanyak RM5.1 bilion.

Awal tahun ini, laporan media menyebut kerajaan menjangka Petronas mengekalkan bayaran dividen sebanyak RM32 bilion walaupun keuntungan syarikat itu susut 32% pada 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.