Cabaran kewangan punca doktor gagal lapor diri di Sarawak

Cabaran kewangan punca doktor gagal lapor diri di Sarawak

Persatuan Perubatan Malaysia berkata dasar semasa tidak membenarkan tuntutan perpindahan menyebabkan doktor keberatan terima penempatan ke Sarawak.

doctor doktor laptop computer
Hampir 300 pegawai perubatan ditawarkan jawatan di Sarawak gagal melapor diri untuk bertugas sebelum 1 Okt lalu. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Cabaran kewangan dipercayai antara punca pegawai perubatan ditawarkan jawatan di Sarawak gagal melapor diri bertugas di negeri itu, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr R Thirunavukarasu berkata, dasar semasa yang tidak membenarkan tuntutan perpindahan menyebabkan doktor keberatan menerima penempatan ke negeri itu, mengambil kira ia menelan kos mencecah ribuan ringgit.

“Ramai doktor menghadapi kesukaran peribadi dan kewangan yang ketara apabila berpindah, termasuk kos perjalanan, perumahan, dan perpisahan keluarga. Mereka memerlukan sokongan yang lebih baik.

“Lebih-lebih lagi, pengurangan bayaran imbuhan wilayah bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk Sabah, Sarawak dan Labuan sehingga 60% juga suatu halangan bagi mereka yang akan dipindahkan ke wilayah ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perkara itu mendorong jurang pendapatan ketara antara doktor sedang berkhidmat dengan yang baru dipindahkan.

Justeru, Thirunavukarasu menggesa kerajaan mengembalikan semula tuntutan perpindahan dan perjalanan bagi meringankan beban doktor ditempatkan ke Malaysia Timur.

Mengulas lanjut, beliau berkata penempatan semula ke negeri lain juga boleh mengganggu laluan latihan doktor.

Katanya, ini kerana ramai yang menyelesaikan peperiksaan kemasukan pascasiswazah di jabatan mereka tetapi dihantar ke jabatan berbeza di Sabah atau Sarawak, sekali gus melambatkan latihan pakar.

“Kementerian Kesihatan perlu memastikan mereka yang berkhidmat di Sarawak dan Sabah tidak terjejas dalam pembangunan kerjaya terutama apabila Malaysia sangat kekurangan pakar.

“Berpindah jauh dari keluarga dan rangkaian sokongan bukanlah mudah. Pengorbanan peribadi dilakukan doktor ini layak mendapat pemahaman dan sokongan lebih besar,” katanya

Pada 7 Okt, Menteri Kesihatan Sarawak Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata hampir 300 pegawai perubatan ditawarkan jawatan di negeri itu gagal melapor diri untuk bertugas sebelum 1 Okt.

Katanya, KKM menawarkan 542 jawatan doktor di Sarawak namun 293 daripada mereka tidak hadir melapor diri, dan sehingga kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di negeri Borneo itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.