
Peguam mereka, Sachpreetraj Singh Sohanpal, berkata kumpulan itu memohon bantuan daripada polis dan Bank Negara (BNM) supaya sebahagian daripada aset Goh yang dibekukan, bernilai RM118.7 juta, dilepaskan bagi memenuhi perintah mahkamah.
“Sekarang mereka mendapat penghakiman yang memihak kepada mereka, cabaran seterusnya ialah untuk mendapatkan semula wang tersebut,” katanya kepada FMT selepas sesi taklimat bersama pelabur hari ini.
Beliau berkata pelabur memohon supaya pihak berkuasa melepaskan sekurang-kurangnya RM8 juta daripada aset yang dibekukan, selepas dirampas kira-kira dua tahun lalu.
“Sekurang-kurangnya, aset yang dibekukan itu dipulangkan kepada pelabur,” katanya sambil menambah bahawa sebahagian daripada jumlah yang dirampas boleh digunakan untuk melaksanakan penghakiman mahkamah.
“Tetapi sehingga kini, kami masih tidak tahu hasil siasatan. Polis belum memaklumkan sama ada kertas siasatan sudah lengkap, apakah penemuan mereka, atau sama ada ia telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Pada Nov 2023, satu operasi bersama dilancarkan terhadap i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan entiti berkaitan, yang membawa kepada pembekuan 45 akaun bank di tujuh bank serta penyitaan wang tunai berjumlah RM118.7 juta.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dalam penghakiman pada September lalu, mendapati Goh dan empat syarikat lain bersalah atas penipuan dan mengarahkan mereka membayar semula kepada 15 plaintif tersebut.
Tuntutan itu, yang difailkan dua tahun lalu, mendakwa syarikat-syarikat terbabit gagal membuat bayaran bulanan antara November 2021 dan Jun 2022 walaupun telah menerima beberapa surat tuntutan.
Sachpreetraj berkata, 83 lagi pelabur telah memfailkan saman berasingan terhadap Goh, menuntut kerugian berjumlah RM40 juta.
Beliau menambah bahawa usaha mendapatkan semula wang itu sukar tanpa campur tangan pihak berkuasa, kerana banyak syarikat terlibat telah digulung, tidak lagi aktif, atau menutup premis mereka.
Seorang pelabur, A Prema, berkata kemenangan di mahkamah tidak bermakna jika wangnya tidak dibayar balik.
“Walaupun mahkamah memihak kepada kami tetapi kami masih perlu memulakan prosiding kebankrapan terhadap Goh dan memohon perintah penyitaan ke atas baki asetnya,” katanya kepada FMT.
“Setiap langkah ini memerlukan masa, usaha dan kos guaman yang tinggi. Kebanyakan kami kehilangan simpanan seumur hidup, malah ada yang terpaksa kembali bekerja selepas bersara.
“Ini hanyalah kemenangan kosong selagi kami tidak dapat wang kami kembali.”
Pelabur juga melancarkan kempen tandatangan dalam talian bagi mendesak pihak berkuasa bertindak segera dan mendakwa Goh atas kesalahan penipuan, susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati lelaki itu bertanggungjawab atas perbuatan menipu.