
Sebaliknya beliau berkata keuntungan yang diperoleh Petronas jauh lebih rendah daripada 10% selepas mengambil kira kos operasi, modal penerokaan dan modal pengeluaran minyak serta cukai jualan.
“Industri petroleum dibangunkan melalui kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di antara Petronas dengan pelabur.
“Dalam apa jua bentuk PSC, Petronas diwajibkan membuat bayaran tunai tetap sebanyak 5% kepada kerajaan persekutuan dan 5% kepada kerajaan negeri berdasarkan jumlah pengeluaran kasar.
“Selepas mengambil kira bayaran 10% itu, kira-kira 80% hasil digunakan untuk menampung kos pengeluaran termasuk kos operasi, modal penerokaan dan modal pengeluaran,” katanya ketika sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Amir Hamzah berkata baki kira-kira 10% merupakan peruntukan kasar untuk dikongsi di antara Petronas dengan pelabur selepas cukai.
“Kerajaan negeri juga mengenakan cukai jualan sebanyak 5% ke atas produk petroleum yang tidak termasuk dalam angka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH–Miri) berhubung dakwaan Petronas mengambil sehingga 95% hasil petroleum dari Sabah dan Sarawak manakala negeri-negeri itu hanya menerima 5% royalti sepanjang 50 tahun lepas.