
Che Mohd Azri Che Abd Aziz, Mohd Shahrul Affendy Sharib dan Siti Normasyitoh Nordin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Che Azri, 38, berdepan empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan, Shahrul Affendy, 33, dituduh atas empat pertuduhan utama dan empat pilihan, manakala Siti Normasyitoh, 42, menghadapi 22 pertuduhan melibatkan masing-masing 11 pertuduhan utama dan pilihan.
Berdasarkan pertuduhan, Che Azri sebagai pembantu pengurus jualan sebuah bank didakwa menerima rasuah sebanyak RM3,414 sebagai upah daripada sebuah firma guaman untuk mencadangkan firma itu menyediakan dua dokumen perjanjian pembiayaan rumah berjumlah RM503,500.
Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mei 2020 dan 27 Sept 2022 di cawangan sebuah bank di Seksyen 13, Shah Alam.
Shahrul Affendy pula sebagai eksekutif jualan pengguna di sebuah bank didakwa menerima rasuah RM4,270 sebagai upah daripada sebuah firma guaman untuk mencadangkan penyediaan empat dokumen perjanjian pembiayaan bernilai RM1.08 juta.
Kesalahan tersebut dilakukan antara Okt 2020 hingga Okt 2022 di cawangan sebuah bank di Kelana Jaya.
Siti Normasyitoh sebagai pengurus jualan sebuah bank didakwa secara rasuah menerima RM146,360 daripada sebuah firma guaman sebagai upah mencadangkan firma tersebut menyediakan 127 dokumen perjanjian pembiayaan bernilai lebih RM40 juta.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan sebuah bank di Seksyen 13 di sini antara Januari 2020 hingga April 2023.
Bagi semua pertuduhan pilihan, Che Azri, Shahrul Affendy dan Siti Normasyitoh didakwa gagal melaporkan semua perbuatan rasuah terbabit kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lebih 20 tahun dan denda.
Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut Subseksyen 25(2) Akta SPRM yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM M Esther Jacyntha bagi kes Che Azri dan Siti Normasyitoh, manakala Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Safari Abdullah bagi kes Shahrul Affendy.
Che Azri tidak diwakili peguam manakala Shahrul Affendy diwakili Peguam Azizzul Shariman Mat Yusof dan Siti Normashitoh diwakili Muhammad Firdaus Shaik Alauddin dan Muhamad Aniq Danish Hadi.
Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 kepada Che Azri, RM15,000 kepada Shahrul Affend dan RM25,000 kepada Siti Normasyitoh, berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada Che Azri, RM8,000 kepada Shahrul Affendy dan Siti Normasyitoh sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan.
Sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh ditetapkan pada 15 Jan tahun hadapan.