
Dia yang enggan dikenali memberitahu FMT, buli siber di platform itu kini semakin berleluasa dan mendakwa beberapa individu rakyat tempatan mengambil nyawa sendiri selepas menjadi mangsa gangguan berterusan.
Katanya, dia sendiri telah berdepan gangguan dalam talian sejak tahun lalu, yang bertambah buruk apabila ‘troll’ mula menyasarkan anak perempuannya dan membuat serangan peribadi terhadap keluarganya.
Gangguan itu memberi kesan emosi serius kepada anaknya, dan selepas didesak rakan di kolej tentang dakwaan terhadap keluarganya, dia cuba membunuh diri dengan menelan pil pada 13 Ogos.
Dia terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital di Klang.
Menurut pempengaruh itu, dia membuat laporan polis pada keesokan hari, memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Keadaannya kini bertambah baik selepas menjalani rawatan psikiatri dua kali. Namun, dia telah berhenti pergi ke kolej selepas insiden itu,” katanya.
“Bukan hanya anak saya… Mereka (pembuli siber) mengugut untuk menyimbah asid ke atas saya dan membunuh suami saya, yang merupakan perbuatan ugutan jenayah — namun masih tiada tindakan diambil.
“Nyawa telah terkorban akibat buli siber (di TikTok) tetapi masalah ini boleh diselesaikan jika polis mengambil tindakan terhadap pelaku.”
Pempengaruh itu berkata dia kecewa kerana tiada sebarang tangkapan dibuat walaupun ‘Fasal Esha’ dalam Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan telah berkuat kuasa sejak Disember lalu.