
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata keseluruhan dadah dilupuskan itu adalah seberat 596.2kg dan 2,744 liter.
“Dadah berkenaan terdiri daripada 379.5kg ganja; syabu (114kg); serbuk esctacy (27kg); daun ketum (26.5kg); methylenedioxymethamphetamine (18.5kg); heroin (16.5kg); serbuk disyaki dadah (6.5kg); erimin 5 (3kg); ketamine (2.5kg); pil ecstacy (2.2kg); cecair disyaki dadah (1,950 liter), air ketum (790 liter) dan kodein (4 liter).
“Semua dadah ini akan dihantar ke tapak pelupusan dadah melalui syarikat yang dilantik kerajaan di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.
Beliau turut memaklumkan polis menahan 34,010 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengedar dadah sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.
“Daripada jumlah tersebut, 775 individu ditangkap sebagai pengedar dadah bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, manakala 102 yang lain ditahan bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, seramai 983 individu telah dituduh bawah Seksyen 15(1)(a) hukuman di bawah Seksyen 39(c)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis turut menyita pelbagai jenis aset dan sumber kewangan yang dianggarkan bernilai RM18.32 juta,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shazeli memaklumkan pihaknya menahan tiga suspek lelaki disyaki terlibat kes tembak yang menyebabkan kematian seorang penganggur di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, Jumaat lalu.
“Tiga suspek dalam lingkungan umur 19 hingga 35 tahun. Tahanan dibuat di kawasan Klang,” katanya, memaklumkn siasatan dibuat dari pelbagai aspek dan tidak hanya menjurus kepada kongsi gelap semata-mata.
Mengenai waran tangkap dikeluarkan terhadap dua individu termasuk pengasas program motivasi rumah tangga eHati pula, beliau berkata polis mengenal pasti keberadaan pengasas itu dan suaminya.
Katanya, kedua-dua mereka dipercayai berada di kawasan negara Asia Tenggara.
“Mereka dipercayai bergerak lebih awal mengikut laluan sah sebelum waran tangkap dikeluarkan. Mereka dipercayai tinggalkan negara pada 13 Okt dan pertuduhan pada 14 Okt. Polis akan berhubung dengan rakan strategik negara itu untuk membantu usaha mengesan,” katanya.