

Presiden Jais Abdul Karim berkata, pengakuan Tei dalam sebuah audio siar baru-baru ini, yang menjelaskan tindakannya memberi wang atas alasan mahu menceburi sektor perlombongan tidak boleh diterima dan tidak melayakkannya dilihat tokoh antirasuah.
Katanya, jika Tei benar-benar mahu berniaga secara sah, dia tidak sepatutnya memberi rasuah dan tiada istilah ‘terpaksa bagi kerana sistem’ memandangkan sudah ada SOP bagi permohonan atau menyalurkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kalau dia rasa ditekan masa itu, boleh sahaja tidak bayar dan buat laporan. Integriti tidak datang selepas seseorang memberi rasuah.
“Hero bukan orang yang buat salah dulu, kemudian bila duit tidak kembali – barulah mahu jadi pejuang sistem,” katanya kepada FMT.
Dalam ‘Perspective Podcast’ disiarkan minggu lalu, Tei mendakwa dia memberikan wang kepada beberapa individu di Sabah untuk memudahkan permohonan lesen mineral, namun menyatakan pemberian itu kemudian ditakrifkan penerimanya sebagai sumbangan politik.
Beliau berkata, pendedahannya dalam beberapa klip video dirakam secara ‘curi-curi’ bagi mendapatkan semula wang yang didakwanya berjumlah RM8 juta itu dan bersedia ‘menutup mulut’ jika pembayaran dibuat kepadanya.
Tei juga menggambarkan dirinya kini mahu menjadi wira untuk memperbetulkan sistem pentadbiran negeri yang didakwanya telah rosak.
Tangkap layar perbualan WhatsApp didakwa antara Tei dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, yang didakwa menerima RM1.78 juta mendedahkan ahli perniagaan itu merayu supaya operasi perlombongan pasir silika syarikatnya tidak diganggu kerana projek berkenaan ‘piggy bank’ (tabung simpanan) mereka.
Dalam mesej sama, Tei mengeluh tidak lagi mampu menanggung ‘sumbangan politik’ selepas kerajaan negeri membatalkan beberapa projek didakwa miliknya.
Jais turut menegur tindakan Tei mendedahkan perkara itu melalui media sosial sedangkan kes berhubung pertuduhan memberi rasuah kepada dua bekas Adun Sabah masih berjalan di mahkamah.
Tei didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Adun – Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin) – bagi mempengaruhi permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah.
Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
“Tindakan itu sangat berisiko dan boleh dilihat sebagai cubaan membentuk naratif untuk mempertahankan diri. Semua kenyataan beliau boleh digunakan semula dalam prosiding mahkamah.
“Podcast (program audio siar) bukan institusi keadilan,” kata Jais.
Mengulas kemungkinan wujud unsur politik memandangkan PRN Sabah semakin hampir, Jais berkata masa pendedahan itu boleh menimbulkan pelbagai persepsi.
“Naratif ini boleh digunakan untuk membakar sentimen ‘anti-establishment’, memberikan kelebihan kepada pihak tertentu dan mewujudkan spekulasi bahawa dia sedang ‘bina positioning’ dengan agenda tertentu,” katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini menyerahkan kepada SPRM menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh berhubung skandal perlombongan mineral.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan Ketua Menteri Interim Hajiji Noor bebas daripada salah laku.