Pejabat MB Selangor nafi dakwaan ‘jahat, tak berasas’ terhadap pegawai

Pejabat MB Selangor nafi dakwaan ‘jahat, tak berasas’ terhadap pegawai

Pegawai dituduh itu akan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

amirudin shari
Pejabat Menteri Besar Selangor berkata tuduhan dibuat dalam kumpulan WhatsApp yang baharu diwujudkan bermotif politik dan tidak mempunyai asas fakta.
PETALING JAYA:
Pejabat Menteri Besar Selangor nafi dakwaan seorang pegawai Amirudin Shari mengumpul jumlah kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Pejabat Amirudin berkata, dakwaan liar dibuat dalam kumpulan WhatsApp yang baharu diwujudkan berniat jahat dan bermotifkan politik, tanpa fakta, dan tidak berasas.

“Laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah ini akan dibuat oleh pegawai terbabit,” katanya dalam kenyataan.

“…sebagai elemen kebertanggungjawaban untuk kita sama-sama memperbetulkan fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar, dan palsu.”

Seorang pentadbir dikenali sebagai ‘Madani’ menubuhkan satu kumpulan WhatsApp pada Jumaat, yang turut menyertakan beberapa Adun Selangor dari pihak kerajaan dan pembangkang, termasuk Amirudin.

Sekurang-kurangnya dua wartawan dimasukkan dalam kumpulan itu, termasuk seorang daripada FMT.

Pentadbir itu mendakwa, pegawai tersebut ‘menjadi jutawan’ sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki banglo bernilai RM3 juta, dan membawa keluarganya melancong mewah ke luar negara.

Selain memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri, ‘Madani’ mendakwa pegawai berkenaan juga berkhidmat sebagai penyelaras kawasan pilihan raya dan berada dalam lembaga pengarah sebuah syarikat milik kerajaan negeri serta kelab golf terkenal.

Pegawai itu juga dikatakan hampir dilantik ke lembaga pengarah sebuah lagi agensi kerajaan negeri Selangor.

Dalam ruang sembang itu, ‘Madani’ menyampaikan mesejnya secara langsung kepada Amirudin, menyeru menteri besar menjawab dengan jujur dan adil.

Ketika dihubungi, pegawai tersebut yang identitinya dirahsiakan, berkata tidak wajar baginya untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.