
Beliau berkata, situasi itu bukan perkara luar biasa memandangkan politik Sabah mempunyai dinamika tersendiri, termasuk pembahagian kerusi serta kekuatan akar umbi yang berbeza mengikut kawasan.
“GRS–PH, BN–PH ada…itu satu dua (kerusi) ‘friendly fight’ (perlawanan persahabatan), okay lah,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai kerusi bertindih antara parti kerajaan pada penamaan calon.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa hampir dua jam pada majlis sarapan pagi dan sembang santai bersama pengamal media sempena PRN Sabah.
Terdapat empat kerusi bertindih merangkumi GRS-PH dan BN-PH. Antara GRS-PH, tiga DUN menyaksikan pertembungan sesama sendiri iaitu Kemabong, Bandau, dan Moyog, manakala BN-PH di Kemabong dan Karamunting.
Untuk rekod, pada PRN kali ini, GRS menjalin kerjasama dengan PH, yang turut berpakat dengan BN. Bagaimanapun, tiada kerjasama antara BN dan GRS.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengingatkan jentera BN supaya tidak menyerang calon rakan perpaduan di DUN yang menyaksikan pertembungan antara BN-PH.
Beliau mengakui pertembungan kerusi antara parti dalam kerajaan perpaduan pada PRN Sabah tidak dapat dielakkan, justeru, jentera parti diarah bergerak berasingan bagi mempromosikan calon masing-masing, tanpa menjejaskan hubungan antara rakan gabungan.
Sementara itu, Pengerusi GRS, Hajiji Noor berkata gabungannya menghormati persaingan pada PRN17 membabitkan rakan kerjasama antara parti yang dianggap sebagai ‘friendly contest’.