
Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan pada prosiding yang dihadiri Peguam Persekutuan, Nur Zul Izzati Zulkipli bagi pihak kerajaan dan peguam Janet Chai Pei Wing mewakili Semantan Estate.
Tarikh itu ditetapkan bagi mengemas kini status pemfailan laporan pakar pentaksiran ganti rugi.
Pada 13 Nov lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pendaftar hak milik tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave atas nama syarikat itu.
Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat terbabit tidak boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal mendapat kebenaran.
Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan, namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956 ketika diambil alih kerajaan.
Tanah itu terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave yang menempatkan bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan mendakwa tanah terbabit diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya membuat keputusan memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan kerajaan mengambil alih tanah itu secara tidak sah dan syarikat terbabit mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.
Kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun gagal.
Pada Feb 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap pendaftar hak milik tanah Wilayah Persekutuan untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 mengarahkan pendaftar hak milik tanah Wilayah Persekutuan memindahkan hak milik tanah itu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman, sebelum keputusan berkenaan diketepikan Mahkamah Rayuan.
Pada 24 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Lee Swee Seng (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan jumlah pampasan yang diputuskan Mahkamah Tinggi ditolak RM1.325 juta yang telah dibayar kerajaan pada 1956.
Mahkamah Rayuan juga memutuskan Semantan Estate berhak mendapat keuntungan sementara terhadap tanah itu, jumlah yang akan ditaksirkan Mahkamah Tinggi, selain mengarahkan kedua-dua pihak melantik pakar bagi menilai tanah terbabit dalam tempoh 90 hari dari tarikh penghakiman.
Pada 28 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Semantan Estate menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu yang dikemukakan syarikat itu.