Draf MTSB dijangka bentang ke Kabinet sebelum hujung tahun

Draf MTSB dijangka bentang ke Kabinet sebelum hujung tahun

Menteri pengangkutan berkata kerajaan akan mengambil kira pandangan dan perbandingan amalan terbaik agensi pengangkutan negara lain.

anthony loke siew fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata selepas kelulusan prinsip, draf rang undang-undang MTSB akan disediakan Jabatan Peguam Negara untuk dibentangkan di Parlimen tahun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Draf penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) kini di fasa akhir penyediaan dengan memorandum Jemaah Menteri dijangka dimuktamad dan dibentangkan sebelum hujung tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Selepas kelulusan prinsip, menurutnya, draf rang undang-undang MTSB akan disediakan Jabatan Peguam Negara untuk dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Dari segi modul MTSB itu belum lagi…seperti yang saya katakan, memang kita mengambil kira juga pandangan dan perbandingan dengan agensi (pengangkutan) di luar negara.

“Sudah tentu kita akan mengambil kira amalan terbaik daripada agensi-agensi tersebut,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) bilakah MTSB akan ditubuhkan kerana kadar kemalangan jalan raya masih tinggi dan aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan perlu diperkukuhkan.

Mengenai tindakan segera sementara menunggu penubuhan MTSB, Loke berkata, pelbagai langkah intervensi dilaksanakan, termasuk bas ekspres dan kenderaan berat wajib memasang peranti had laju, penguatkuasaan tegas ke atas lori membawa muatan berlebihan dan kempen keselamatan jalan raya berterusan, khasnya bagi penunggang motosikal.

“Ini memang kempen-kempen yang dijalankan secara berterusan. Bukan kita menunggu penubuhan MTSB baru kita akan buat apa-apa tindakan ‘intervention’. Jadi, ini sesuatu yang saya rasa perlu kita teruskan sebelum penubuhan MTSB.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.