Cima dilantik Alti YP, kukuh pembangunan bakat perakaunan Bumiputera

Cima dilantik Alti YP, kukuh pembangunan bakat perakaunan Bumiputera

Pelantikan berkuat kuasa September 2025 itu menandakan fasa baharu kerjasama strategik antara YP dan Cima.

Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata, pencapaian ini cermin komitmen berterusan YP untuk perluas akses kepada laluan pensijilan profesional bertaraf global. (Gambar YP)
PETALING JAYA:
The Chartered Institute of Management Accountants (Cima) mencatat sejarah apabila menjadi badan perakaunan profesional pertama dilantik sebagai Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan (Alti) oleh Yayasan Peneraju (YP).

Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata, pelantikan berkuat kuasa September 2025 itu menandakan fasa baharu kerjasama strategik antara YP dan Cima bagi memperkukuh pembangunan bakat Bumiputera dalam bidang perakaunan.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan YP untuk memperluas akses kepada laluan pensijilan profesional bertaraf global menerusi skim pembiayaan baharu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Cima bersama American Institute of CPAs (AICPA) membentuk Association of International Certified Professional Accountants, iaitu peneraju global dalam bidang perakaunan awam dan pengurusan.

Setakat ini, lebih 9,000 bakat Bumiputera telah mendapat manfaat daripada program perakaunan profesional di bawah YP.

Pada majlis pelancarannya sebelum ini, Ibrahim berkata, skim pembiayaan baharu YP memperkasa bakat bumiputera untuk mengambil peranan lebih besar dalam pembangunan profesional mereka sendiri.

Menurutnya, dengan beralih kepada struktur berasaskan pinjaman, para penerima kini mempunyai fleksibiliti untuk menentukan penyedia pembelajaran atau Alti pilihan masing-masing.

“Dengan melantik badan perakaunan profesional seperti Cima sebagai ALTI, kami membawa perjalanan pembelajaran bakat kami ke laluan yang lebih langsung,” katanya.

“Kini, bakat Bumiputera berpeluang menyertai badan keahlian perakaunan terbesar dan paling berpengaruh bagi profesional perakaunan awam, pengurusan dan kewangan menerusi latihan terus oleh Cima dan bukan melalui institusi latihan perantara.”

Ibrahim berkata, matlamat utama pendekatan itu adalah bagi mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan, serta menyampaikan sukatan pelajaran secara langsung daripada badan penerbit kepada bakat tanpa perantara, dalam usaha melahirkan lebih ramai akauntan profesional yang berkualiti tinggi.

Tambahnya, menjelang 2026, pihaknya menyasarkan untuk melatih 2,000 akauntan bertauliah, sebahagian aspirasi lebih luas untuk melahirkan 5,000 akauntan bertauliah setiap tahun menjelang 2030.

“Dengan Cima kini menjadi Alti rasmi YP, kami yakin kerjasama ini akan membantu merealisasikan aspirasi tersebut serta melahirkan profesional Bumiputera yang berdaya saing dan mampu menerajui pentas global,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pasaran Asia Tenggara AICPA dan Cima Saritha Subramaniam berkata, pihaknya akan terus memperkasa para profesional kewangan dan perakaunan dengan kecekapan dan ketangkasan, serta melatih mereka agar berpandangan jauh supaya mampu memimpin dengan yakin dalam dunia yang semakin kompleks.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk memupuk bakat dan memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat, yang menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan dan daya saing global Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.