
Ia susulan peruntukan RM6 bilion kepada YP, Mara dan UiTM untuk meningkatkan peluang pendidikan Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebentar tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani, berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa modal insan Bumiputera dalam sektor berkemahiran tinggi.
“Sebagai agensi dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti, membimbing dan mengembangkan bakat Bumiputera, kami komited sepenuhnya menyokong aspirasi Belanjawan 2026.
“Matlamat kami untuk melahirkan 2,000 akauntan bertauliah dan 10,000 pakar teknologi dalam tahun sama, termasuk dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan Enterprise Resource Planning (ERP).
“Dengan peningkatan jumlah bakat teknologi Bumiputera berkemahiran tinggi, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak syarikat antarabangsa dan pelabur membangunkan operasi mereka di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Buat julung kali, beliau berkata, jumlah akauntan bertauliah Bumiputera baharu yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) tahun depan dijangka mengatasi bukan Bumiputera dalam tempoh setahun.
Menurutnya, laluan perakaunan YP menyediakan landasan pantas ke arah pentauliahan profesional untuk pelajar mencapai status akauntan bertauliah seawal usia 21 tahun melalui program seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Program teknologi YP pula menawarkan lebih 90 pensijilan global merangkumi bidang seperti Ethical Hacking, Cybersecurity, Enterprise AI & Data Practitioner serta ArchiMate® EA Foundation & Practitioner.