
Rina berkata cabaran kecil dilalui akibat tindakan tidak profesional oleh parti terbabit sebelum penamaan calon tidak mematahkan semangatnya, malah menguatkan azam lebih-lebih lagi selepas mendapat sokongan padu pengundi.
Menurutnya, ramai penduduk mempersoalkan perubahan saat-saat akhir dibuat pimpinan PHRS yang sebelum itu didakwa telah memberi lampu hijau kepadanya untuk mempertahankan kerusi di bawah Parlimen Kalabakan terbabit.
“Ramai tidak percaya saya tidak dicalonkan selepas melihat prestasi di lapangan, mereka menganggap keputusan itu pelik.

“Sokongan itu menguatkan saya untuk bertanding sebagai bebas, dan menyahut sokongan rakyat Kukusan,” katanya dalam temu bual FMT sambil memaklumkan beliau meletak jawatan sebagai timbalan presiden PHRS, dua hari sebelum penamaan calon pada 15 Nov.
Rina sebelum itu digantung keahlian oleh PHRS yang menurut Setiausaha Agungnya Christy Chok Lee Lui kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menjejaskan reputasi parti di Kukusan.
Beliau menang kerusi itu atas tiket Warisan pada PRN 2020 sebelum menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menjadi wakil rakyat tunggal PHRS.
Rina berdepan pertandingan 10 penjuru pada PRN ke-17 termasuk dengan Samsiah Usman yang dipertaruhkan PHRS untuk mewakili GRS. Beliau turut dicabar bekas lawannya pada pilihan raya lalu, Chaya Sulaiman dari Barisan Nasional (BN).
Seramai 19,225 pemilih berdaftar di Kukusan dengan pecahan 1,231 (pengundi 18-20 tahun), 4,358 (21-29), 4,608 (30-39), 3,559 (40-49), 2,320 (50-59), 1,990 (60-69), 838 (70-79), 212 (80-89) dan 109 (90 ke atas)
Rina turut mendedahkan ada menerima tawaran daripada parti lain tetapi menolaknya kerana ketika itu beliau masih berharap isu dalaman parti dapat diselesaikan.
“Saya bertemu presiden (Liew Yun Fah) dan cuba memurnikan keadaan tetapi tidak berjaya, saya akhirnya memilih untuk menjauh sedikit daripada politik dalaman supaya dapat fokus berkhidmat di Kukusan.
“Saya memilih menjadi bebas mesra kerajaan kerana sepanjang perjalanan politik, saya belajar perjuangan bukan tentang jawatan atau parti tetapi manfaat kepada rakyat,” katanya yang berpegang kepada perkhidmatan berorientasikan masyarakat.
Menurut Rina, jika menang sebagai calon bebas suara pengundi Kukusan akan tetap kuat dan beliau akan memastikan gabungan kerajaan baharu bakal disokongnya selepas PRN memanfaatkan rakyat.
“Saya sudah umum akan jadi bebas mesra kerajaan, jika ada gabungan baharu selepas PRN nanti sama ada saya akan terlibat atau tidak, itu bergantung keadaan.
“Apa yang pasti kemenangan calon Bebas di Kukusan memberi suara yang kuat untuk rakyat,” katanya.